Bapa rayu sumbangan kos ubat barah saraf anak

Bapa rayu sumbangan kos ubat barah saraf anak

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Ada yang pertikaikan kenapa saya tak bekerja kerana nampak sihat. Hakikatnya, saya masih kerja untuk sara anak dengan ambil upah hantar barang cuma tak boleh bekerja tetap kerana perlu kerana ulang alik bawa anak yang sakit ke hospital.”

Itu kata Yuraimi Yusof, 45, ketika menceritakan ikhtiar dilakukan dalam mencari dana bagi membeli ubat khas, Qarziba untuk kegunaan anak keempatnya, Mohd Aqra Rizki Yuraimi, 6, atau nama manjanya Aqra yang penghidap barah neuroblastoma (barah saraf) tahap empat.

Dia mengakui ada menerima bantuan sebelum ini hasil sumbangan wakil rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga orang ramai selepas kisah anaknya tular di laman sosial.

Bagaimanapun, keadaannya yang tiada sumber pendapatan tetap dan kos ubat mencecah puluhan ribu selain komitmen menyara tiga daripada lima anak masih bersekolah menyebabkannya hilang punca hingga perlu memohon sumbangan.

Lantaran itu, dia berikhtiar dengan mengambil upah menghantar alat ganti motosikal dan kereta namun bayaran diterima tidak dapat membantu untuk menampung perbelajaan Aqra terutama ubat yang diperlukan.

“Ikutkan, sudah setahun saya tak bekerja tetap kerana perlu uruskan anak terutama Aqra yang disahkan menghidap barah pada Disember 2024.

“Saya tak nak begini tapi susah untuk bekerja tetap kerana rasanya, tiada majikan mahu terima kerana akhirnya nanti, saya ambil cuti banyak untuk bawa anak ke hospital.

“Saya pun sudah berpisah dengan isteri akhir tahun lalu jadi perlu urus banyak perkara sendiri termasuk beruang alik dari rumah di Alor Gajah, Melaka untuk bawa Aqra menjalani pemeriksaan hospital di Kuala Lumpur.

“Emak memang tinggal bersama tapi sudah berumur jadi tak nak terlalu bebankannya,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM), di sini.

Menurut Yuraimi, keadaan Aqra kini stabil dan lebih aktif berbanding sebelum ini namun masih tidak berselera makan malah hanya minum susu formula sumbangan Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP) HPKK UKM.

Bagaimanapun, Aqra belum disahkan sembuh jadi dia bimbang terutama apabila memikirkan wang simpanan semakin berkurangan hingga akhirnya nanti akan menyukarkannya membeli ubat diperlukan buat anaknya itu.

“Jujurnya dalam simpanan sekarang ada RM40,000 dan dengar macam banyak sampai ada juga yang kata kami anak beranak sudah kaya dengan duit sumbangan.

“Tapi jumlah itu tak cukup sebenarnya kerana Aqra masih ada temujanji di hospital dan perlu duit terutama bagi membeli ubat Qarziba yang penting untuk meningkatkan imunisasinya.

“Sumbangan sebelum ini pun hanya cukup untuk beli tiga botol ubat bagi kegunaan satu pusingan.

“Sekalipun tak beli ubat, wang simpanan yang ada ini tetap akan diusik untuk keperluan Aqra yang lain selain tampung kos ulang alik hospital juga belanja sekolah anak,” katanya yang menerima bantuan persekolahan RM500 bagi anaknya dan sudah mengemaskini permohonan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Yurami berkata, perjalanan anaknya masih jauh dan berharap ada yang sudi membantu meringankan bebannya bagi menampung kos ubatan buat anak.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah kecekalan Yuraimi membesarkan Aqra sebagai penghidap barah saraf tahap empat.

Berikutan itu, Aqra sebelum ini memerlukan kira-kira RM120,000 bagi membeli 10 botol ubat khas, Qarziba yang berfungsi meningkatkan imunisasinya.

Yuraimi tidak hanya mengharapkan sumbangan orang ramai antaranya bekerja sebagai pembeli barangan peribadi dalam talian dan bergantung dengan komisyen.

Aqra selesai 12 kitaran radioterapi pada September lalu dan perlu kerap dipantau malah masih bergantung dengan ubat Qarziba.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam 04024029371297 milik Yuraimi Yusof.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top