bhnews@bh.com.my
KUALA TERENGGANU: Penguat kuasa dijangka mengadakan sekatan jalan raya di lapan lokasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Kuala Terengganu, berkuat kuasa esok sehingga 12 Jun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah, berkata sebanyak 371 kampung membabitkan kira-kira 253,700 penduduk yang tinggal di 21 mukim di daerah Kuala Terengganu, terbabit tinggal dalam kawasan PKPD selama 14 hari berkuat kuasa esok.
Katanya, kawasan pelaksanaan PKPD di 21 mukim seperti diumumkan kerajaan membabitkan kawasan seluas kira-kira 21,000 hektar.
“Berdasarkan populasi penduduk, seramai 42,000 Ketua Isi Rumah membabitkan kira-kira 253,700 penduduk tinggal di 21 mukim yang dikenakan PKPD,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata PKPD dilaksanakan di daerah Kuala Terengganu, membabitkan 21 mukim.
Ismail Sabri dilaporkan berkata, pelaksanaan PKPD di 21 mukim di daerah Kuala Terengganu dikuatkuasakan berikutan laporan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati berlaku peningkatan kes yang amat ketara sepanjang Mei, iaitu 349 kes atau 370 peratus bagi tempoh dua minggu di semua lokaliti terbabit.
Ariffin yang juga Pegawai Daerah Kuala Terengganu berkata, jawatankuasa pengurusan bencana juga mencadangkan agar pergerakan penduduk bermula daripada jam 8 pagi hingga jam 8 malam.
Katannya, cadangan hasil perbincangan oleh jawatankuasa pengurusan bencana peringkat daerah akan diputuskan pada mesyuarat Majlis Keselamatan negeri (MKN).
“Cadangan jumlah dan lokasi sekatan jalan raya seperti dicadangkan juga akan dimuktamadkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Semua cadangan hasil perbincangan oleh jawatankuasa pengurusan bencana peringkat daerah akan diputuskan pada mesyuarat Majlis Keselamatan negeri (MKN),” katanya.
Ariffin berkata, mukim yang terbabit dalam pelaksaan PKPD ialah Mukim Manir, Mukim Bukit Besar, Mukim Pengadang Buluh, Mukim Belara, Mukim Paloh, Mukim Kubang Parit, Mukim Serada, Mukim Rengas, Mukim Chendering, Mukim Bandar, Mukim Chabang Tiga, Mukim Kepong, Mukim Gelugur Kedai, Mukim Kuala Ibai, Mukim Atas Tol, Mukim Tok Jamal, Mukim Losong, Mukim Batu Buruk, Mukim Pekan Chabang Tiga, Mukim Pulau Pulau dan Mukim Gelugur Raja.
© New Straits Times Press (M) Bhd




