Tak mati-mati lagi dia, Elyana tabah terima mesej berbaur negatif

Tak mati-mati lagi dia, Elyana tabah terima mesej berbaur negatif

Kuala Lumpur : Penyanyi, Elyana Emrizal mengakui pernah menerima mesej berunsur negatif daripada pelayar internet yang cuba menjatuhkan semangatnya terutama ketika menjalani rawatan kanser di hospital.

Elyana atau nama sebenar, Erneelya Elyana Emrizal, 39, berkata biarpun ramai pengikut mendoakan kesihatannya serta memberi kata-kata semangat, tidak kurang juga individu yang menghantar mesej berbaur kebencian.

Tambahnya, antara mesej yang diterima termasuk komen sinis mempersoalkan mengapa dia masih belum meninggal dunia.

“Ramai yang mendoakan dan memberi kata-kata semangat. Malah, ada yang kata rindu hendak melihat saya beraksi semula dalam lakonan. Mesej seperti itu memang menyentuh hati dan menjadi penyuntik semangat untuk saya, terutama ketika berada di wad.

“Tetapi, tidak terkecuali ada juga yang berniat jahat. Mereka tahu kita berada dalam keadaan lemah daripada segi mental dan fizikal kerana dimasukkan ke hospital, jadi mereka cuba menjatuhkan lagi semangat.

“Ada yang cakap, alah, tak mati-mati lagi dia ini. Kalau saya ceritakan kepada orang, mungkin ada yang tidak percaya manusia seperti itu wujud. Tetapi memang ada individu yang langsung tiada empati dan simpati terhadap orang lain,” katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Elyana memilih untuk tidak menyimpan dendam terhadap individu terbabit kerana percaya setiap manusia pasti akan diuji dengan masalah kesihatan, suatu hari nanti.

“Memang sedih apabila menerima mesej seperti itu, tetapi saya percaya suatu hari nanti mereka juga akan merasai apa yang saya rasa.

“Tiada siapa yang akan sentiasa sihat. Pasti akan ada waktunya kita diuji dengan sakit. Apabila tiba masa itu, mungkin mereka akan faham bagaimana sakitnya hati seseorang apabila diperlakukan sedemikian,” ujarnya.

Mengulas tindakannya berkongsi luahan di media sosial, Elyana berkata platform itu hanya menjadi pilihan terakhir apabila dia benar-benar tidak lagi mampu memendam perasaan.

“Sebenarnya, meluahkan perasaan di media sosial adalah jalan terakhir bagi saya. Maksudnya, kalau saya buat begitu, memang saya sudah tidak boleh tahan. Itu pun apa yang saya luahkan tidak sampai 10 peratus daripada apa yang saya rasa,” katanya.

Elyana berkata, dia juga sering menerima mesej daripada pengikut yang mahu mendapatkan pandangan serta nasihat berkaitan perjalanan hidupnya, terutama selepas berdepan ujian kesihatan.

Sebelum ini, Elyana mendedahkan dia kembali menjalani sesi kemoterapi selepas sel kanser dikesan kembali aktif.

Pada Disember 2021, Elyana mengumumkan dirinya bebas daripada kanser limfoma selepas 11 tahun berjuang melawan penyakit itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top