PM naik ETS3, singgah santai ke Zoo Johor

PM naik ETS3, singgah santai ke Zoo Johor

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini, petang ini dengan menaiki Perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3) untuk membuat lawatan tidak rasmi ke negeri ini.

Perdana Menteri yang ditemani anak-anak dan cucunya kemudian ke Zoo Johor iaitu zoo tertua di negara ini pada jam 3.10 petang.

Beliau turut diberi taklimat mengenai pembangunan semasa zoo berkenaan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Asman Shah Abd. Rahman.

Perdana Menteri turut meluangkan masa selama sejam di zoo itu termasuk beramah mesra dan bergambar bersama pengunjung.

Terdahulu, menerusi perkongsian di laman sosial Facebook, Datuk Seri Anwar berkata beliau memanfaatkan cuti panjang sempena Hari Wilayah dan Thaipusam dengan meninjau operasi ETS3 Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru.

“Kesempatan ini digunakan untuk menyantuni para penumpang serta mendengar secara langsung pandangan dan maklum balas mereka mengenai perkhidmatan yang disediakan.

“Alhamdulillah, respons yang diterima amat memberangsangkan, khususnya terkait tahap keselesaan serta pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan tersusun.

“Kerajaan MADANI akan terus memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh perkhidmatan awam yang selamat, cekap dan mesra rakyat, insya-Allah,” katanya.

Mohd Jafni yang ditemui berkata, lawatan Perdana Menteri itu bersifat santai dan tidak diumumkan lebih awal, dengan pihak berkuasa negeri hanya menerima pengesahan sehari sebelum lawatan.

“Kami hanya menerima makluman semalam, jadi kami tidak pasti sama ada beliau dapat hadir. Alhamdulillah, beliau datang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top