Kota Damansara : Usahawan popular, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman tidak sabar melancarkan filem pendek mengisahkan perjalanan dan jatuh bangun hidup.
Aliff, 39, berkata, filem pendek berjudul Abah Saya Jaga itu dianggap antara projek paling bermakna kerana bukan sekadar hiburan, sebaliknya, luahan perjalanan hidup yang tidak diketahui ramai.
“Orang ramai nampak sisi glamor Aliff Syukri, namun, orang tidak tahu sejarah kehidupan saya. Jadi, filem pendek ini berkisar anak yang dilahirkan mengalami disleksia.
“Dia membesar dengan bapa yang juga pengawal keselamatan selepas ibu bapa bercerai. Ketika zaman persekolahannya, dia jadi ketua pengawas, popular di sekolah, juara pidato dan peserta syair mewakili Selangor.
“Namun, dia tidak mengaku bapanya pengawal keselamatan kerana malu. Saya imbau kisah biadap saya dan abadikan kemuliaan seorang bapa dalam filem pendek ini,” katanya pada majlis perasmian wajah baharu Wisma D’Herbs di sini, kelmarin.
Aliff berkata, filem pendek yang mengangkat perjuangan dan kasih sayang sebapa itu bertujuan memberi inspirasi kepada orang ramai.
“Saya dedikasikan kisah ini untuk abah saya. Saya mahu orang nampak abah orang yang hebat. Hebatnya saya kerana doa ibu dan arwah bapa. Saya tidak boleh nafikan jasa arwah abah terlalu banyak.
“Saya mahu filem pendek ini dijadikan inspirasi untuk anak-anak di luar menghargai abah mereka. Biar apapun pekerjaan bapa kita, tak kiralah penjual nasi lemak, pegawai keselamatan atau penggali kubur sekalipun,” katanya.
Aliff yang meraih trofi Seller Terpaling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-37 menyifatkan penghasilan filem pendek itu sebagai medium untuk berkongsi suka duka kehidupan bersama peminat.
“Saya juga hendak berkongsi bahawa, orang yang gagal Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan selalu dipandang hina sebagai anak pengawal keselamatan juga boleh berjaya,” katanya.
Antara pelakon yang terbabit dalam filem pendek berdurasi tujuh minit itu adalah Azhan Rani.
Aliff berkata jika filem pendek itu mendapat sambutan memberangsangkan, dia berhasrat menghasilkan filem penuh berkisar percintaan bersama isteri, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid.
“Itu adalah impian saya. Kalau filem pendek ini berjaya, saya akan buat filem pula. Misalnya, filem pendek saya capai tontonan 10 juta di YouTube, saya hendak buat filem mengenai kisah cinta kami pula,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




