Kuala Lumpur: Nama sama seperti Perdana Menteri dan artis popular tanah air turut didaftarkan dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, penggunaan nama sembilan Perdana Menteri mendapati yang tertinggi didaftarkan Abdullah (Tun Abdullah Ahmad Badawi).
“Berdasarkan statistik setakat ini, nama Abdullah merekodkan 1,089 pendaftaran diikuti Abdul Rahman (908), Anwar (207), Abdul Razak (160), Mahathir (144), Hussein (64) dan Muhyiddin (9).
“Bagaimanapun, tiada pendaftaran direkodkan JPN bagi nama Ismail Sabri,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam pada itu, Badrul Hisham berkata, statistik penggunaan nama hampir sama artis popular kini menyaksikan 22,387 nama Siti didaftarkan dalam rekod JPN setakat ini.
Beliau berkata, ini diikuti nama Anna dengan 3,420 pendaftaran, Emma (1,615), Lisa (1,572), Aisyah (1,095), Amir (920), Aiman (608), Alif (400), Aina (370), Ernie (369), Irfan (359), Ramli (314), Nasir (305) dan Awie (208).
Katanya, pencarian nama Neelofa pula mendapati 13 nama didaftarkan manakala nama Fazura mempunyai 12 rekod, Wany (4) dan hanya satu nama Meerqeen.
© New Straits Times Press (M) Bhd




