Sunderland: Sunderland kini berada dalam kelompok elit Eropah musim ini apabila menjadi satu-satunya pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri, sekali gus memburu rekod baharu serta peluang beraksi di pentas Eropah musim depan.
Kemenangan 3-0 ke atas Burnley di Stadium of Light, memastikan Sunderland kekal kebal di gelanggang sendiri, pencapaian yang meletakkan mereka sebaris dengan juara Eropah Paris Saint Germain serta gergasi benua seperti Atletico Madrid, Barcelona, Borussia Dortmund dan Juventus yang turut tidak tewas di laman sendiri musim ini.
Keputusan itu juga melonjakkan Sunderland ke tangga kelapan liga, sekali gus membuka peluang untuk merebut slot ke kejohanan Eropah musim depan.
Namun, pengurus Regis Le Bris menegaskan fokus utamanya kekal untuk memastikan pasukan mengumpul mata mencukupi bagi mengelak penyingkiran.
“Bagi saya, sasaran masih sama. Sasaran pertama adalah sekitar 40 mata, mungkin lebih. Liga ini sangat mencabar. Untuk kami, capai 40 mata dahulu dan kemudian lihat sama ada kita boleh dapat lebih,” katanya.
Sebaliknya, pemain Sunderland tidak menyembunyikan impian untuk melangkah lebih jauh, termasuk peluang beraksi di kejohanan kelab Eropah, malah Liga Juara-Juara.
“Kami mahu berada di tahap tertinggi. Jika boleh masuk enam atau lima teratas. Masih banyak perlawanan, jadi kami perlu fokus satu demi satu,” kata pemain tengah, Noah Sadiki.
Lazimnya, pasukan yang baru dinaikkan pangkat bergelut untuk kekal di EPL, namun Sunderland berjaya mematahkan tanggapan itu dengan menjadikan Stadium of Light sebagai kubu kebal.
Sunderland kini mencatat permulaan rekod tanpa kalah di laman sendiri paling panjang bagi pasukan baharu naik ke liga utama sejak Nottingham Forest melakukannya pada musim 1977-78 sebelum muncul juara Divisyen Satu ketika itu.
Dalam era EPL, rekod terbaik dipegang Birmingham City dengan 15 perlawanan tanpa kalah di laman sendiri pada musim 2009-10.
Setakat ini, Sunderland sudah mengharungi 12 perlawanan di Stadium of Light musim ini.
Le Bris menegaskan mengekalkan rekod kebal di laman sendiri amat penting.
“Kami tahu hubungan dengan penyokong sangat penting. Kami pasukan baharu dan merasakan kami mampu mengubah momentum,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




