asyikin.mat@hmetro.com.my
Lazimnya wanita lebih cenderung memakai kostum yang membuatkan mereka kelihatan cantik, umpamanya seperti watak Cinderella.
Namun, berbeza dengan Nur Aishah Zarith Md Zain, 32, yang berani membuat kelainan apabila memilih mengenakan kostum panda.
Penampilan Nur Aishah yang unik turut mencuri perhatian ramai apabila rakaman dirinya berbaju panda tular di media sosial, baru-baru ini.
Ramai warga maya terhibur melihat gelagatnya menjadi panda yang kelihatan ‘hidup’ dan berkarakter.
Nur Aishah berkata, dia mengenakan baju panda kerana menghadiri majlis makan malam tahunan jabatan tempatnya bertugas di Pulau Pinang yang bertemakan watak filem.
Menurutnya, idea itu muncul secara spontan dan dia memilih menjadi panda.
“Tambahan pula, penyediaan kostum ini lebih mudah dan menjimatkan berbanding kostum lain.
“Saya hanya membelanjakan RM50 untuk menghasilkan kostum ini dengan membeli baju dan seluar secara atas talian.
“Bagi solekan wajah panda, saya lakukannya sendiri selain bantuan rakan menggunakan alat solek sedia ada dan cat wajah. Saya ambil masa sejam untuk siap,” katanya.
Nur Aishah berkata, dia tidak menyangka penampilan panda yang dianggap sekadar suka-suka itu memenangi tempat kedua kategori pakaian tercantik.
“Berlaku satu kejadian mencuit hati ketika di bilik hotel apabila saya menunaikan solat Maghrib dengan wajah panda bertelekung sebelum terus ke dewan majlis.
“Ramai rakan tidak dapat menahan ketawa,” katanya.
Nur Aishah berkata, gelagatnya menikmati bihun menggunakan garfu juga disukai rakan sekerja.
“Saya tidak sangka, rakaman video yang dimuat naik di media sosial mendapat perhatian warga maya,” katanya.
Kata Nur Aishah, dia merakam dan memuat naik video sekadar untuk suka-suka malah keluarga dan rakan-rakan turut memberikan reaksi positif.
“Malah, ada yang bergurau mengatakan saya ‘berjaya’ menjadi terkenal,” katanya.
Katanya lagi, karakter dirinya yang ceria, suka bergurau dan lucu membuatkannya mudah menjiwai watak panda.
Dalam pada itu, Nur Aishah turut menggalakkan wanita supaya berani mencuba perkara baharu.
“Jangan takut untuk keluar daripada zon selesa, buat sahaja dulu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




