'Saya berjanji 'bersihkan' ATM, kita akan bangkit semula' – Malek Razak

'Saya berjanji 'bersihkan' ATM, kita akan bangkit semula' – Malek Razak

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kepimpinan baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berazam ‘membersihkan’ ketumbukan (seluruh organisasi) pertahanan negara itu selepas terpalit dengan isu-isu integriti kebelakangan ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata tiada kompromi diberikan terhadap isu integriti, pelanggaran tatakelola, pengurusan kewangan, dan perolehan.

“Saya berjanji di sini, bersama dengan panglima-panglima perkhidmatan darat, laut dan udara, bahawa kita akan melaksanakan total clean-up (pembersihan menyeluruh).

” Ini adalah janji saya dan janji semua (panglima) yang berada di belakang saya.

“Mereka yang terbabit (isu rasuah) sudah dibawa untuk pertuduhan dan kita serahkan kepada proses mahkamah, kami yang mewarisi ketumbukan ini akan terus bergerak ke hadapan,” katanya pada sidang media Majlis Sambutan Mula Tugas Panglima Angkatan Tentera Ke-24, di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Turut hadir Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

Malek Razak berkata, pucuk kepimpinan baharu ATM menghormati undang-undang negara dan berazam memperbaiki segala kelemahan serta bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi membersihkan nama angkatan pertahanan negara.

“Alhamdulillah, ada hikmah di sebalik apa yang berlaku kerana ia mengajar kita untuk bermuhasabah, sama ada sebagai individu atau organisasi, supaya kita dapat memulihkan keadaan dan menjadi lebih stabil serta bersedia.

“ATM adalah sebuah organisasi yang teguh, jadi apabila berlaku kelemahan, kita perlu bangkit semula. Inilah masa untuk kita bounce back (bangkit) dan menguruskan apa yang berlaku,” katanya.

Mengulas mengenai pelantikannya sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-24, Malek Razak mengucapkan terima kasih kepada pucuk kepimpinan negara khususnya Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan serta kepercayaan diberikan kepadanya.

Katanya, di samping mandat yang diberikan dan pengalamannya selama empat dekad bergelar pegawai tentera beliau yakin mampu mengorak langkah ke hadapan sekali gus menerajui ATM untuk kembali gemilang.

Menurutnya, sebagai anggota tentera kesetiaan utama adalah kepada Yang di-Pertuan Agong dan perkenan dikeluarkan untuk menggalas jawatan itu adalah satu arahan yang perlu digalas dengan baik.

“Dalam masa terdekat, kita akan menggariskan amanat saya dan memperincikan pelan tindakan bagi menangani isu ini serta hala tuju ke hadapan sebagai satu ketumbukan utama yang dipercayai dan diyakini rakyat.

“Kita akan terus bergerak ke hadapan, kita jadikan perkara ini sebagai wake-up call, kita uruskan dan kita bergerak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top