Bangkok: Satu letupan dilaporkan berlaku di sebuah stesen minyak PTT di wilayah Pattani pada pagi semalam, selepas bahan letupan dipercayai diletakkan di dalam tandas mesra orang kurang upaya (OKU).
Difahamkan, pegawai Unit Pemusnah Bahan Letupan (EOD) segera digerakkan ke lokasi bagi mengawal keadaan.
Langkah keselamatan termasuk pemindahan orang awam dan pelaksanaan pelupusan terkawal turut dijalankan oleh pasukan EOD.
Difahamkan, insiden itu berlaku pada 9.15 pagi dengan pihak berkuasa memaklumkan seorang anggota pasukan EOD mengalami kecederaan.
Stesen minyak terbabit terletak bertentangan sebuah loji jana kuasa di subdaerah Talubo, daerah Mueang Pattani, wilayah Pattani.
Dalam pada itu, pihak berkuasa mengesahkan, bahan letupan itu berjaya dikawal dan dimusnahkan sepenuhnya.
Anggota keselamatan daripada semua agensi berkaitan masih ditempatkan di lokasi dan sedang menjalankan pemeriksaan menyeluruh di kawasan sekitar dengan keadaan terus dipantau rapi.
Pada 11 Januari lalu, empat individu cedera selepas beberapa bom diletupkan di 11 stesen minyak di wilayah selatan Thailand.
Menurut jurucakap tentera, semua mangsa dimasukkan ke hospital, namun tiada yang mengalami kecederaan serius.
© New Straits Times Press (M) Bhd




