georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Gara-gara video ‘panas’ mengaitkan namanya tular sekitar pertengahan tahun lalu, penyanyi Indonesia, Faris Adam diejek dan dipersenda di khalayak sehingga memberi kesan kepada emosinya.
Ketika itu, Faris yang meletup menerusi lagu Stecu Stecu juga terfikir karier seninya pasti hancur apabila kontroversi terbabit menjadi sorotan ramai dan hanya mampu berdoa agar urusan dipermudahkan.
“Sejak kejadian itu, saya pernah terfikir mungkin kerjaya saya akan musnah. Selain itu, pernah juga setiap kali hendak pergi membuat persembahan di sekitar Indonesia, pasti ada suara-suara ejekan.
“Saya hanya mampu berdiam diri dan menangis sahaja. Saya hanya mampu berdoa, namun Alhamdulillah, mungkin kerana kebesaran Allah, dan juga berdoa memohon pertolongan daripada-Nya.
“Allah menutup segala aib itu. Alhamdulillah, tawaran kerja saya juga semakin lancar,” katanya ditemui pada sidang media konsert Malam FYP Timur, di sini, semalam.
Faris yang berasal dari Ternate, Maluku Utara menyifatkan perkara itu sebagai dugaan besar ditempuh apabila nama berada di atas, namun bersyukur kerana tidak goyah dan mendapat sokongan ramai.
“Pada waktu itu, keadaannya memang sedang hangat, lagu (Stecu Stecu) ini sedang tular, bukan? Kerana mudah sahaja untuk orang menjatuhkan kita sebenarnya.
“Betulkan? Kalau pokok itu berbuah, barulah dilempar batu. Semakin tinggi pokok, pastinya semakin kencang juga angin yang meniupnya,” katanya.
Pada sekitar Jun tahun lalu, sebuah video berdurasi satu minit 25 saat menjadi sorotan netizen kerana lelaki dalam rakaman terbabit dikatakan mirip Faris dalam keadaan tidak berbaju dan berseluar dalam sedang melakukan panggilan video.
Ia menuai pelbagai reaksi kerana dikatakan tidak senonoh, tidak kurang ada yang pertikai niat penyebaran video berkenaan.
Dalam pada itu, Faris teruja apabila buat pertama kalinya mendapat peluang mengadakan persembahan di Kuala Lumpur selepas pernah beraksi di Johor dan Sabah sebelum ini.
Dia bakal beraksi bersama dua rakannya iaitu Echo Show dan Silet Open Up di Malam FYP Timur di Zepp Kuala Lumpur pada 24 April ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




