am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Seorang penyokong Selangor FC mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan menggunakan perkataan kurang sopan terhadap seorang penjawat awam.
Mengikut pertuduhan, AlFadli Awaludin, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 1 Februari lalu kira-kira jam 7 malam di perkarangan Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
Dia didakwa mengeluarkan kata-kata kurang sopan iaitu, ‘takkan mahu bakar suar di dalam hutan, nak suruh beruk tengok ke’, terhadap seorang penjawat awam, justeru melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mahkamah kemudian menawarkan ikat jamin sebanyak RM1,000 terhadap Orang Kena Saman (OKS) dan menetapkan 5 Mac depan bagi lantikan peguam serta serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Anith Nabilah Rusli manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Nur Faid Afiq Aziz.
Sementara itu, di mahkamah sama, tiga lagi individu masing-masing didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki suar tanpa lesen yang sah.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Hafiz Azim Abdul Halim, 25, Muhammad Haiqal Jemerizan, 22, dan Mohd Amrin Abdul Halim, 29, didakwa melakukan kesalahan itu pada 1 Februari lalu, jam 8.45 malam hingga 9.30 malam di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.
Mereka didapati memiliki suar berwarna merah tanpa lesen yang sah, sekali gus melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 setiap seorang dan lima bulan penjara sekiranya mereka gagal membayar denda.
Sementara itu di mahkamah berasingan, lima lagi penyokong Selangor FC turut didenda antara RM2,800 hingga RM3,200 dan berdepan empat bulan penjara sekiranya gagal membayar denda atas kesalahan memiliki suar.
Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Aliff Aiman Norazman, 23, Syafiq Waliuddin Mohd Anuar, 25, Hamizan Zafri Ahmad Fauzansah, 25, Muhammad Ashraff Azhar Mohd Radzi, 23, dan Noor Akmal Danish Noor Azli, 26.
Kesemua tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan memiliki suar tanpa lesen yang sah mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ely Nazihah Ahmad Yunus manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Ahmad Nur Faid Afiq Aziz.
© New Straits Times Press (M) Bhd




