am@hmetro.com.my
Putrajaya: Tiada keperluan membahaskan syor pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pelantikan Datuk Bandar di Parlimen ketika ini kerana kerajaan belum menerima kajian yang dilaksanakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara berkenaan masih berada pada peringkat kajian dan belum dibincangkan oleh Jemaah Menteri.
“Memang tidak ada apa-apa untuk dibentangkan pada waktu ini kerana apa yang Yang Berhormat Hannah Yoeh sebut adalah satu kajian yang disediakan oleh pihak UIAM dan kajian itu pun belum dibawa ke Kabinet.
“Kabinet (pun) belum membincangkan, jadi belum ada apa-apa, ia pramatang,” katanya pada sidang selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Zchwantech Group dan Magna AI di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menggesa kerajaan supaya membentangkan dan membahaskan syor pilihan raya terbabit di Parlimen.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata kerajaan terbuka menerima sebarang cadangan dan tidak menghalang pembangkang daripada membangkitkan perkara itu melalui saluran rasmi Parlimen.
“Tapi kita terima baik apa-apa cadangan sekiranya beliau berhasrat untuk bangkitkan, saya percaya boleh bangkitkan dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) minggu depan.
“Cuma waktu ini Kabinet tidak ada sebarang perbincangan mengenai cadangan terbabit, belum dibentangkan hasil kajian UIAM, jadi tidak ada apa-apa untuk kita bentangkan pada waktu ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




