Larangan kenderaan berat, barangan sempena Tahun Baharu Cina mulai 14 Februari

Larangan kenderaan berat, barangan sempena Tahun Baharu Cina mulai 14 Februari

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan larangan pemanduan ke atas kenderaan barangan dan berat sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 14 hingga 15 Februari dan 21 hingga 22 Februari ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata langkah itu bagi mengurangkan risiko kemalangan dan memastikan kelancaran trafik sempena musim perayaan terbabit.

Menurutnya larangan pergerakan dikenakan ke atas jenis kenderaan yang dibahagi kepada tiga jenis, iaitu kategori 1, larangan sepanjang masa pada tarikh terbabit; kategori 2, larangan bermula 8 pagi ke 8 malam; dan kategori 3 dari 6 petang hingga 6 pagi.

“Kategori 1 membabitkan lori pembawa dan lori jongket yang berat dengan muatannya melebihi 7,500 kilogram (kg), lori pengangkut rendah, treler tiang, treler pelantar, lori balak, jentera berat beroda, kecuali trak tunda dan traktor yang digunakan bagi maksud operasi kecemasan dan menyelamat.

“Antara kenderaan bawah kategori 1 termasuk lori pengangkut barangan simen, besi keluli, batu, pasir, tanah, bahan binaan yang lain, amang, bijih timah, aras batu dan bahan galian yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya kategori 2 pula merangkumi lori kontena yang mengangkut barangan kecuali jika lori terbabit daripada pelabuhan atau lapangan terbang yang menghantar barang ke kawasan perindustrian di dalam negeri.

Katanya, kategori 2 termasuk lori membawa muatan kelapa, susu getah serta lori tanpa muatan.

“Kategori 3 membabitkan kenderaan pembinaan antaranya kren bergerak, dan lori pembancuh simen namun diberikan pengecualian bagi kerja-kerja kecemasan.

“Mana-mana kenderaan barangan atau dengan jenis barangan yang tidak dinyatakan dalam jadual adalah dibenarkan menggunakan kenderaan dalam tempoh larangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top