Nahas dua lori, seorang pemandu maut tersepit

Nahas dua lori, seorang pemandu maut tersepit

am@hmetro.com.my

Jasin: Lelaki maut selepas lori dipandunya terbabas dan terbalik akibat dirempuh sebuah lori lain dalam kemalangan di Kilometer (KM) 175.5 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 8.40 pagi.

Menurutnya, kemalangan membabitkan lori Nissan muatan barangan komersial yang dipandu mangsa berusia 44 tahun dan lori Scania dari arah sama menghala ke Johor.

“Hasil siasatan awal mendapati lori dipandu mangsa dipercayai berhenti secara mengejut sejurus tiba di lokasi kejadian sebelum dilanggar lori Scania dari arah belakang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pelanggaran itu menyebabkan lori mangsa terbabas dan terbalik ke kiri jalan, manakala lori Scania terbabas melanggar pembahagi jalan di sebelah kanan lebuh raya.

“Mangsa tersepit di dalam lori dan dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman oleh petugas perubatan,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jasin bagi tujuan bedah siasat untuk menentukan punca sebenar kematian.

“Pemandu lori Scania berusia 23 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top