am@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, Hulu Selangor awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, remaja terbabit, Nur Raihan Irdina Muhamad Ridzuan disedari hilang oleh ibunya pada hari kejadian.
Beliau berkata, susulan kejadian ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa pada jam 10 pagi.
“Pengadu memaklumkan anaknya keluar jam 5.30 pagi hari sama dan sehingga kini masih tidak pulang ke rumah.
“Hasil siasatan mendapati kali terakhir remaja itu dilihat pengadu memakai baju t-shirt lengan panjang warna putih dan seluar trek warna hitam.
“Remaja itu berambut panjang dan berkulit cerah selain mempunyai ketinggian 148 sentimeter (cm),” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Ibrahim berkata, polis masih mencari mangsa namun masih tidak ditemui dan usaha pengesanan masih diteruskan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung remaja ini supaya tampil dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor D Sugu di talian 03-60641222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor (03-60651021) atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




