
Remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan bersama senjata api yang digunakannya. Foto: Amarin TV
Pathum Thani – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun bertindak menembak mati jirannya selepas mempercayai dakwaan mangsa mempunyai hubungan sulit dengan ibunya.
Pasukan daripada Balai Polis Thanyaburi menerima laporan kejadian itu sekitar jam 1 petang pada Rabu, lapor The Thaiger News.
Mangsa dikenali sebagai pengurus restoran, Paisarn, 41, ketika kejadian sedang menunggang motosikal sebelum ditembak dari arah belakang.
Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami luka di bahagian belakang leher dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang wakil penduduk memberitahu polis, mangsa pernah meluahkan rasa bimbang terhadap keselamatannya selepas dituduh menjalinkan hubungan sulit dengan isteri jirannya.

Pihak berkuasa menjalankan siasatan di lokasi kejadian. Foto: ThaiRath
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) polis mendedahkan bahawa penembak sebenar adalah anak jiran mangsa yang dikenali sebagai Mhoo, 17.
Polis berjaya menahan suspek ketika sedang bersiap-siap untuk melarikan diri dan merampas sepucuk pistol berkaliber.38.
Ketika disoal siasat, suspek mengaku melepaskan tembakan tersebut selepas sering mendengar dakwaan bapanya bahawa mangsa mempunyai hubungan sulit dengan ibunya.
Dakwaan itu dikatakan mencetuskan pertengkaran berterusan antara kedua ibu bapanya dan memberi tekanan emosi kepadanya.
Mhoo mendakwa kemarahannya memuncak selepas mengetahui mangsa menafikan dakwaan berkenaan dengan menggunakan kata-kata kesat.
Suspek kini ditahan di bawah prosedur juvana, sementara polis meneruskan siasatan.
Ringkasan AI
- Remaja lelaki 17 tahun menembak mati jirannya kerana percaya mangsa mempunyai hubungan sulit dengan ibunya
- Mangsa, pengurus restoran berumur 41 tahun, ditembak ketika menunggang motosikal
- Penembak sebenar adalah anak jiran mangsa yang dikenali sebagai Mhoo, 17
- Mhoo mengaku menembak selepas sering mendengar dakwaan bapanya tentang hubungan sulit mangsa dengan ibunya
- Suspek ditahan di bawah prosedur juvana sementara polis meneruskan siasatan



