Abbe Hae selamatkan Pak Mail, keluarga dakwa warga emas alami masalah mental

Abbe Hae selamatkan Pak Mail, keluarga dakwa warga emas alami masalah mental

am@hmetro.com.my

Pasir Mas: Warga emas yang dipercayai diabaikan oleh keluarganya dengan membiarkannya berada dalam keadaan tidak terurus di Kampung Repek, di sini, diselamatkan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Kisah menyayat hati warga emas yang dikenali sebagai Pak Mail itu ditularkan aktivis, Abbe Hae, di media sosial miliknya dan mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Pak Mail ditemui dalam keadaan tidak bermaya di dalam rumah yang kotor tidak terurus, fizikalnya juga sangat kurus dan tidak berdaya sehingga perlu didukung oleh sukarelawan untuk dibawa keluar daripada rumahnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra Zamakhshari Muhamad dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sudah menerima maklumat berhubung kes itu lebih awal selain mengarahkan penghulu mukim untuk membuat semakan serta tindakan susulan di peringkat kampung.

“Hasil maklum balas daripada penghulu selepas berhubung secara langsung dengan anak kepada warga emas berkenaan, dimaklumkan bahawa mangsa mempunyai masalah kesihatan mental.

“Tindakan mengurung dibuat oleh ahli keluarga atas faktor keselamatan, bagi mengelakkan mangsa mengganggu orang awam dan mendatangkan risiko kepada dirinya sendiri serta orang lain.

“Perkara ini menunjukkan bahawa isu berkenaan bukan kes pengabaian yang disengajakan, sebaliknya membabitkan situasi kesihatan mental yang memerlukan pendekatan berhemah, profesional dan berfakta serta pembabitan agensi berkaitan,” katanya.

Zamakhshari turut menegaskan bahawa kebajikan rakyat tidak pernah diabaikan, dan setiap maklumat yang diterima akan ditangani mengikut prosedur, nasihat pihak berautoriti serta keperluan sebenar kes termasuk aspek keselamatan dan kesihatan.

Menurutnya, sehubungan itu orang ramai diminta tidak membuat andaian atau membina naratif berdasarkan emosi dan visual semata-mata kerana ia boleh menimbulkan salah faham serta tekanan tidak wajar kepada keluarga terbabit.

Katanya, kerjasama semua pihak amat dihargai agar isu sensitif seperti itu ditangani secara bertanggungjawab, berperikemanusiaan dan melalui saluran yang betul.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top