am@hmetro.com.my
SERI Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) dari Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya pernah melakar nama di peringkat antarabangsa apabila meraih Anugerah Emas pada World Orchestra Festival ke-11 di Vienna, Austria tahun lalu.
Pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa itu, sekali gus mengukuhkan kedudukan SPWinds sebagai antara orkestra sekolah terbaik di negara ini.
Terbaharu, SPWinds bakal bekerjasama buat julung kali menerusi konsert penyanyi Amir Masdi yang bakal berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 25 April ini.
Pengetua Sekolah Seri Puteri, Julaila Yahya berkata, pemilihan Amir dibuat berdasarkan nilai profesionalisme, disiplin dan imej positif yang selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan (KPM).
“Konsert ini bukan sekadar persembahan muzik, tetapi berasaskan pendidikan iaitu dari segi kemahiran pelajar bermain instrumen, disiplin latihan setiap hari serta persediaan membuat persembahan secara profesional.
“Saya percaya kolaborasi SPWinds bersama Amir mampu melonjakkan lagi pencapaian kedua-dua belah pihak ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Konsert bersama Amir Masdi bukan sekadar memberi pendedahan kepada pelajar terhadap dunia muzik profesional, malah persiapan pengumpulan dana SPWinds bagi penyertaan di World Music Contest (WMC) 2026 di Kerkrade, Belanda pada Julai ini.
Sementara itu, Amir secara peribadi menyifatkan kerjasama bersama SPWinds menerusi konsert skala penuh sebagai satu penghormatan besar, sekali gus menyokong bakat muda tempatan.
“Saya berbesar hati dapat bergabung dalam konsert skala besar ini bersama SPWinds kerana dedikasi, disiplin dan kesungguhan pemuzik muda seperti mereka amat menginspirasikan.
“Pada masa sama, saya harap dapat menyumbang dan menyokong perjalanan mereka melalui muzik,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai konsert itu, Amir berkata, ia mengetengahkan konsep Rockhestra iaitu gabungan elemen muzik rock moden dengan susunan orkestra alat tiupan yang bertenaga dan dinamik.
“Kerjasama ini sebagai pengalaman baharu buat saya dan jarang diperolehi dalam industri muzik. Kita juga jarang dapat melihat penggunaan instrumen ‘winds orchestra’ dalam konsert.
“Saya akan sampaikan rangkaian lebih 20 lagu dengan iringan SPWinds, sekali gus membawa pendengar ke satu dunia muzik yang berbeza,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




