Beruang serang ternakan, ceroboh kediaman di Mongolia

Beruang serang ternakan, ceroboh kediaman di Mongolia

Ulaanbaatar: Kemunculan beruang di dalam dan sekitar kawasan kediaman di seluruh Mongolia terus dilaporkan sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dengan pihak berkuasa mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko, lapor Xinhua.

Video yang memaparkan beruang memasuki atau merosakkan kediaman tradisional Mongolia berbentuk bulat yang dikenali sebagai ‘ger’ dan rumah, selain menyerang ternakan di beberapa wilayah, turut tular di media sosial, sekali gus menunjukkan peningkatan kesan pertembungan antara manusia dan beruang terhadap masyarakat setempat.

Baru-baru ini, beberapa kali kemunculan beruang turut dilaporkan di ibu negara, Ulaanbaatar, mendorong pihak berkuasa menggesa penduduk supaya berhati-hati dan mengambil langkah yang sewajarnya bagi melindungi diri sendiri dan orang lain.

Di wilayah Khentii di timur negara itu, sekurang-kurangnya 192 kemunculan beruang dilaporkan sejak akhir Ogos, menurut jabatan alam sekitar wilayah berkenaan.

Pada Isnin, di Khairkhan soum, sebuah bahagian pentadbiran di Wilayah Arkhangai, tengah Mongolia, seekor beruang dilaporkan mencederakan dua ekor anjing milik seorang pengembala selain membunuh dan memakan lapan ekor kambing.

Minggu lalu, di Tushig soum di Wilayah Selenge, utara Mongolia, seekor beruang dilaporkan membunuh lapan ekor lembu dan seekor anak lembu milik seorang pengembala tempatan.

Pakar berkata pertembungan antara beruang dengan ternakan, selain kemunculan beruang di kawasan kediaman, meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Mereka mengaitkan trend itu dengan beberapa faktor termasuk perubahan iklim, kekurangan makanan di habitat semula jadi beruang serta eksploitasi sumber semula jadi secara berlebihan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top