UDA optimis pasaran hartanah 2026 kekal berdaya tahan

UDA optimis pasaran hartanah 2026 kekal berdaya tahan

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: UDA Holdings Berhad (UDA) kekal optimis terhadap prospek pasaran hartanah negara pada 2026 yang dijangka terus berdaya tahan dan berkembang secara lebih bersasar, sejajar dengan sokongan dasar kerajaan serta pemulihan ekonomi domestik yang semakin kukuh.

Pemangku Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Azrudyn Rashid berkata, keyakinan itu didorong pelaksanaan pelbagai inisiatif utama Kerajaan MADANI yang memberi tumpuan kepada pemilikan hartanah serta kestabilan pasaran.

Katanya, komitmen kerajaan terhadap reformasi struktur di bawah Kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) turut mengukuhkan keyakinan industri, khususnya dalam mempertingkat tadbir urus, memacu pertumbuhan ekonomi berimpak tinggi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Antara inisiatif penting termasuk pembangunan Residensi MADANI, pelanjutan pengecualian duti setem bagi pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500,000 serta pengenaan duti setem ke atas urus niaga hartanah oleh bukan warganegara dan syarikat asing bagi memastikan pasaran lebih seimbang.

“Langkah menggalakkan institusi kewangan menyokong skim ‘sewa-beli’ dan skim ‘bina-kemudian-jual’ turut membantu memperluas akses pemilikan kediaman, khususnya kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas prestasi pasaran, Azrudyn berkata, sepanjang 2025, pasaran hartanah negara mencatatkan aktiviti yang stabil dengan peningkatan nilai transaksi dan momentum pemulihan yang semakin kukuh menjelang suku ketiga tahun lalu.

“Perkembangan ini mencerminkan daya tahan pasaran yang terus berkembang secara berperingkat, khususnya dalam segmen kediaman dan hartanah berkualiti walaupun berdepan cabaran global,” katanya.

Seiring mandatnya, UDA kekal komited memaksimumkan prestasi kewangan sambil memastikan setiap inisiatif memberi manfaat menyeluruh kepada pihak berkepentingan serta menyokong aspirasi kerajaan dalam penyediaan kediaman mampu milik.

Katanya, komitmen itu selari dengan ulang tahun ke-55 UDA tahun ini yang bertemakan ‘UDA Memenuhi Impian’, dengan fokus berterusan terhadap pembangunan bandar, pemerkasaan usahawan, pembinaan komuniti mampan serta pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top