TANJUNG MALIM: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang lumpuh akibat jangkitan kuman pada selaput otak memerlukan bantuan RM30,000 bagi menampung kos pembedahan, rawatan susulan dan keperluan hariannya.
Meor Mohd Zainudin, 45, berkata anak angkatnya, Mikayla Afia Meor Abdul Fattah, dikesan menghidap penyakit itu pada Februari tahun lalu ketika berusia empat tahun.
Menurutnya, Mikayla Afia sudah menjalani tiga pembedahan, namun keadaan kesihatannya masih belum menunjukkan perubahan ketara dan memerlukan satu lagi pembedahan selepas keadaannya stabil.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Pembedahan pertama dilakukan untuk mengalirkan cecair yang terkumpul di otak akibat jangkitan kuman, manakala pembedahan kedua bagi menukar tiub External Ventricular Drain (EVD) selepas dia mengalami demam panas.
“Pembedahan ketiga dilakukan pada 2 Februari lalu, tetapi dia masih memerlukan rawatan lanjut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Meor berkata, dia terpaksa berhenti kerja sebagai pemandu jengkaut untuk menjaga anaknya, manakala isterinya bekerja sebagai pembantu tadika.
Katanya, Mikayla Afia memerlukan susu khas enam kali sehari, setiap tiga jam, selain ubat-ubatan mengikut jadual bagi mengurangkan risiko sawan yang boleh membahayakan kesihatannya.
“Kami menghadapi kekangan kewangan untuk menampung kos susu, ubat-ubatan dan rawatan susulan. Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan masih tidak mencukupi.
“Sehubungan itu, kami merayu bantuan orang ramai bagi memastikan keperluan dan rawatan anak dapat diteruskan,” katanya.
Selain sumbangan kewangan, Meor turut memerlukan kerusi keselamatan khas (car seat) bernilai RM5,500 bagi memudahkan urusan membawa Mikayla Afia ke hospital tanpa perlu menyewa ambulans yang menelan kos tinggi.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 162478128584 atas nama Meor Mohd Zainudin atau menghubunginya menerusi talian 010-3325704. – UTUSAN




