38 pengunjung pusat hiburan positif dadah ditahan

38 pengunjung pusat hiburan positif dadah ditahan

nuratikah@bh.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 38 individu ditahan dalam serbuan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sebuah pusat hiburan, di sini, pagi hari ini, selepas didapati positif dadah jenis methylenedeioxy methamphetamine (MDMA) dan ketamin.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Zainuddin Abdullah berkata, kesemua mereka dikesan terbabit dalam penyalahgunaan dadah hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan dalam Op Pusat Hiburan bermula 12.30 tengah malam tadi.

Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada 30 lelaki dan lapan wanita warga tempatan berusia antara 22 hingga 61 tahun.

“Pusat hiburan berkenaan dikenal pasti sebagai antara yang terbesar dengan 40 bilik hiburan, setiap bilik dianggarkan bernilai antara RM2,000 hingga RM8,000.

“Kapasiti pengunjung pula boleh mencecah sehingga 300 orang dalam satu masa,” katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa AADK turut menemui beberapa paket jus minuman yang mengandungi tiga campuran dadah jenis metaphetamine, MDMA dan ketamin.

Katanya, campuran berkenaan dikenal pasti sangat berbahaya kerana MDMA bertindak sebagai dadah perangsang yang memberi kesan ‘high’, manakala ketamin pula memberi kesan khayal.

“Gabungan ini boleh menyebabkan degupan jantung terlalu laju dan risiko ‘overdos’.

“Ketamin juga ditemui secara berasingan di dalam premis berkenaan.

“Anggaran harga bagi satu paket jus dadah tersebut ialah sekitar RM600, manakala ketamin dianggarkan RM180 bagi satu gram.

“Operasi seperti ini akan diteruskan, khususnya terhadap pusat hiburan yang dikenal pasti berisiko tinggi.

“Fokus utamanya adalah untuk rawatan dan pemulihan awal, sama ada di pusat pemulihan atau dalam komuniti bagi mengelakkan individu terbabit menjadi penagih tegar,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian dan temu bual, majoriti pengunjung hadir untuk tujuan hiburan dan terdiri daripada pelbagai kaum warga tempatan dan turut dikesan kehadiran warga asing seperti Thailand.

Pada masa sama, AADK turut menyeru masyarakat agar menjauhi pusat hiburan yang diketahui terbabit dengan dadah dan menegaskan hiburan dibenarkan asalkan tanpa dadah.

“Ibu bapa dan komuniti juga diminta lebih peka terhadap pembabitan golongan muda dalam aktiviti hiburan berisiko.

“Sementara itu, bagi kesemua individu yang ditahan dibawa ke AADK Dang Wangi untuk proses dokumentasi bagi tindakan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top