yusri.muzamir@bh.com.my
Kuala Lumpur: Selepas hampir dua bulan suaminya gagal dihubungi susulan bencana di Nepal, Hani Othman, kekal optimis dan masih menaruh harapan agar Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa kembali ke pangkuan keluarga.
Hani menerusi muat naik di Facebook hari ini, berkongsi Mohd Fakhrul Munir atau lebih dikenali sebagai Loe, beberapa kali hadir dalam mimpinya dan ‘menyuarakan’ hasrat ingin pulang.
“Trip kali ini, dia (Mohd Fakhrul Munir) pergi ke Nepal. Dia tidak janji dengan kami hendak pulang dengan selamat kerana trip ini santai. Ia bukan trip mendaki yang bahaya.
“Namun, aku tahu dia hendak balik. Tiga kali dia hadir dalam mimpi aku. Dia hendak balik,” kata wanita berusia 40 tahun yang berasal dari Kampung Kupang, Kedah itu.
Hani sebelum ini, dilaporkan berlepas ke Kathmandu atas inisiatif sendiri bagi mendapatkan perkembangan secara langsung mengenai operasi mencari suaminya dan anggota kumpulan berkenaan yang masih gagal dihubungi sejak 46 hari lalu.
Sepanjang berada di sana, Hani aktif berkongsi perkembangan usaha mengesan suaminya dan rakyat Malaysia dengan melawat hospital di Nepal bagi proses pengecaman mayat, selain terbabit mengagihkan bantuan kepada mangsa bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.
Mohd Fakhrul Munir dilaporkan hilang selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki kumpulannya dalam ekspedisi pendakian ke Everest Base Camp (EBC) melalui laluan Tibet, dipercayai terjejas akibat banjir dan tanah runtuh dahsyat ketika berada di lembah di Rasuwa.
Sebelum dilaporkan hilang, Mohd Fakhrul Munir menerusi hantaran di laman sosialnya pada 2 Ogos lalu, berkongsi pandangan peribadi mengenai risiko pendakian gunung ekstrim serta impak tragedi di Broad Peak yang dikaitkan dengan insiden taufan di Gunung Everest pada 1996.
Seramai 54 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana yang berlaku pada 26 Ogos itu.
Sementara itu, Hani dalam hantaran sama turut memuat naik video pendek, memaparkan Mohd Fakhrul Munir sedang memberi penerangan mengenai langkah keselamatan ketika berselisih dengan haiwan ketika ekspedisi pendakian di Phakding, Khumbu dekat Nepal.
“‘Knowing’ (mengenali) Loe, dia sangat mementingkan keselamatan. Bagi dia, nyawa dan keselamatan sangat utama. Bukan hanya nyawa dia, tetapi orang lain juga dan akan berjuang habis-habisan untuk hidup.
“Dia kena cirit-birit ketika pergi ke Everest dulu dan mampu sampai ke puncak, kalau dia hendak ‘summit push’ (gigih mendaki ke puncak). Namun, dia akan hilang tenaga dan berisiko mati ketika turun.
“Jadi dia ‘decide’ (putuskan) untuk tidak teruskan walaupun hendak sangat ke puncak, tetapi dia sudah janji dengan ‘family’ (keluarga) untuk pulang dengan selamat. Namun, keadaan sebaliknya ketika trip ke Nepal,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




