hafidzul@hmetro.com.my
Ampang Jaya: Polis mengesahkan menahan enam individu termasuk seorang wanita warga asing yang ditahan bagi membantu siasatan susulan penularan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tiga lelaki memikul objek disyaki peti besi di sebuah kediaman di Taman Hillview, Hulu Kelang.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya mengesan video tular berkenaan di media sosial kelmarin sekitar jam 9.30 pagi.
Menurutnya, hasil semakan mendapati laporan polis berkaitan kejadian berkenaan dibuat lebih awal oleh seorang wanita 26 Disember lalu.
“Pengadu memaklumkan kejadian disedari kira-kira jam 12.15 tengah hari ketika dia pergi ke rumah majikannya di Taman Hillview, Hulu Kelang bagi tujuan mengecas bateri kenderaan elektrik (EV) milik majikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular rakaman CCTV memaparkan detik tiga perompak mengangkat peti besi yang dipercayai mengandungi emas.
Sebelum ini seorang usahawan mendakwa kerugian hampir RM3 juta selepas tiga perompak memecah masuk rumahnya dan melarikan sebuah peti besi seberat hampir 100 kilogram berisi emas dan wang tunai di Taman Hillview, Hulu Klang di sini.
Rompakan itu berlaku pada 23 Disember tahun lalu ketika mangsa, Johan Al Fateh, 34, bersama isterinya pulang ke kampung di Kelantan.
Johan dilaporkan berkata, kejadian bagaimanapun hanya disedari tiga hari kemudian apabila seorang pekerjanya datang ke rumah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




