Ultras Selangor positif dadah dilarang masuk stadium tiga tahun

Ultras Selangor positif dadah dilarang masuk stadium tiga tahun

PETALING JAYA: Kumpulan penyokong tegar Selangor, Ultras Selangor dikenakan larangan hadir ke stadium berkuat kuasa serta-merta bermula aksi menentang Negeri Sembilan FC dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Paroi, malam esok.

Keputusan tegas itu dibuat oleh pengurusan Selangor FC (SFC) susulan insiden membabitkan kumpulan berkenaan di Kuala Terengganu pada 1 Februari lalu yang mencetuskan kebimbangan terhadap aspek keselamatan awam serta imej kelab.

Dalam kejadian berkenaan, beberapa individu dipercayai daripada kumpulan Ultras Selangor ditahan pihak polis selepas didakwa mengganggu ketenteraman awam apabila berarak dan membakar suar di kawasan Dataran Jambatan Angkat, Kuala Terengganu.

Menerusi satu kenyataan media, SFC menegaskan tindakan itu diambil dengan menjunjung kasih titah perintah dan cadangan Sultan Selangor selaku Penaung Diraja Selangor, selain mengambil kira nasihat serta pandangan Raja Muda Selangor selaku Pengerusi kelab.

Sehubungan itu, Ultras Selangor tidak dibenarkan menghadiri tiga perlawanan bermula 8 hingga 22 Februari, merangkumi dua aksi suku akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC serta satu perlawanan Liga Super menentang Kuching City FC.

Dalam perkembangan sama, SFC turut memaklumkan mana-mana individu yang disabitkan dengan dakwaan penyalahgunaan dan pemilikan dadah akan dikenakan larangan hadir ke stadium selama tiga tahun berkuat kuasa serta-merta.

“Selangor FC menyeru semua penyokong agar terus memberi sokongan secara berhemah, bertanggungjawab dan saling menghormati demi memelihara keselamatan awam, imej kelab serta masa depan bola sepak tempatan,” menurut kenyataan itu.

Pengurusan skuad Merah Kuning percaya Ultras Selangor mampu mengambil iktibar daripada insiden berkenaan dan berharap kumpulan itu akan kembali ke stadium pada masa akan datang dengan semangat baharu yang lebih matang serta profesional.-UTUSAN

Scroll to Top