MSN usul insentif cukai baharu

MSN usul insentif cukai baharu

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) sedang memperhalusi cadangan bagi menambah baik insentif pelepasan cukai kepada syarikat korporat dalam usaha menarik lebih banyak penajaan kepada persatuan sukan di negara ini.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, pihaknya bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini sedang menyediakan satu kertas cadangan untuk dibentangkan kepada Kabinet bagi memperkenalkan kemudahan cukai yang lebih menarik kepada bakal penaja.

Katanya, cadangan itu dibuat selepas isu pelepasan cukai sering dibangkitkan oleh syarikat korporat dalam beberapa sesi libat urus yang diadakan bersama bakal penaja sebelum ini.

“Kami pernah membentangkan beberapa cadangan kepada Kabinet termasuk berkaitan pelepasan cukai berganda (double taxation), namun kerajaan berpandangan ia tidak praktikal untuk dilaksanakan ketika ini.

“Bagaimanapun, kami sedang menyiapkan satu kertas bersama KBS untuk dibawa ke Kabinet berhubung kemudahan cukai yang lebih menarik. Pengumuman mengenainya akan dibuat oleh KBS,” katanya.

Bagi Jefri, antara cadangan yang dikemukakan MSN ialah meningkatkan kadar pelepasan cukai supaya lebih kompetitif berbanding kadar sedia ada, sekali gus menarik minat lebih banyak pihak korporat melabur dalam industri sukan.

“Kalau boleh, kami mahu menaikkannya seperti yang dilaksanakan di Singapura. Setakat yang saya tahu, kadarnya sekitar 15 peratus. Apa yang paling banyak diminta oleh pihak industri ialah pelepasan cukai berganda. Bagaimanapun, mekanisme itu perlu diperhalusi dan dibincangkan oleh semua pihak berkaitan,” katanya.

Ketika ini, syarikat yang menyalurkan tajaan kepada persatuan sukan melalui MSN boleh menikmati pelepasan cukai sebanyak 10 peratus daripada pendapatan agregat di bawah kemudahan pengecualian cukai Subseksyen 44(6).

Katanya, kemudahan itu membolehkan MSN membantu persatuan sukan menawarkan nilai tambah kepada bakal penaja, sekali gus menggalakkan lebih banyak syarikat tampil menyokong pembangunan sukan negara.

“Melalui kemudahan Subseksyen 44(6), kami membantu persatuan mendapatkan pengecualian cukai untuk penaja. Sebagai contoh, jika Tenaga Nasional Berhad (TNB) menaja Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), permohonan itu akan melalui MSN bagi mendapatkan pelepasan cukai.

“Buat masa ini, kadar pelepasan cukai adalah 10 peratus daripada pendapatan agregat. Ia sebenarnya sudah memberi manfaat, namun mungkin terdapat insentif baharu yang boleh diperkenalkan kepada bakal penaja pada masa depan, terutama menjelang temasya Sukan Sea,” katanya.

Dalam pada itu, Jefri mengakui MSN masih belum mempunyai pangkalan data yang lengkap mengenai jumlah keseluruhan penajaan sukan di negara ini kerana sebahagian tajaan diberikan dalam bentuk kewangan, manakala selebihnya membabitkan tajaan barangan atau perkhidmatan.

Justeru, MSN bercadang membangunkan pangkalan data yang lebih komprehensif bagi membolehkan nilai sebenar penajaan sukan di negara ini dikenal pasti dan dinilai dengan lebih tepat.

Untuk rekod, Arena Metro sebelum ini pernah melaporkan secara eksklusif mengenai isu berkenaan dan rata-rata persatuan sukan di Malaysia mengharapkan perkara sama, iaitu peningkatan pemberian potongan cukai sukan yang lebih tinggi kepada penaja.

Ketika ini, satu-satunya kelonggaran yang boleh dinikmati ialah potongan cukai sebanyak 10 peratus daripada pendapatan agregat syarikat bagi sumbangan penajaan kepada organisasi bukan berasaskan keuntungan (NGO) yang menggerakkan pembangunan sukan di peringkat akar umbi. Skim itu diperkenalkan menerusi Belanjawan 2023.

Dalam pembentangan Belanjawan 2026 tahun lalu, kerajaan turut mengumumkan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 50 peratus kepada syarikat swasta yang menganjurkan kejohanan sukan bertaraf antarabangsa pada tahun ini bagi merancakkan lagi aktiviti sukan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top