'Hadiah' masjid baharu untuk penduduk Jelebu, Ramadan kali ini pasti berbeza

'Hadiah' masjid baharu untuk penduduk Jelebu, Ramadan kali ini pasti berbeza

am@hmetro.com.my

Jelebu: Daerah ini memiliki sebuah lagi masjid baharu apabila Masjid Dato’ Undang Luak Jelebu siap dibina sekaligus boleh digunakan Ramadan tahun ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata masjid berkenaan mula dibina pada Mac 2022 diatas tanah seluas 4.88 hektar dengan kos pembinaan berjumlah RM8.85 juta.

Katanya, masjid itu boleh menampung sehingga 1,000 jemaah dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan sokongan antaranya dewan keraian, bilik pentadbiran, bilik imam, bilik pengurusan jenazah serta parkir yang mesra OKU.

“Pembinaan Masjid Daerah Jelebu ini membuktikan keprihatinan berterusan Kerajaan Pusat terhadap keperluan rakyat khususnya dalam memperkukuh pembangunan rohani dan kesejahteraan sosial.

“Masjid ini juga merupakan masjid pertama yang berjaya disiapkan pada tahun ini sekaligus boleh digunakan pada Ramadan tahun,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan masjid berkenaan di Kuala Klawang hari ini.

Hadir sama Exco Kanan Datuk Seri Jalaluddin Alias; Mufti Negeri Sembilan Profesor Madya Datuk Dr Faudzinaim Badarudin; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Datuk Wan Hasnan Wan Musa; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Datuk Mohd Asri Abdullah dan Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Negeri Sembilan Datuk Noor Ihsan Che Mat.

Sementara itu Aminuddin berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan RM16.05 juta pada tahun ini khusus untuk pembangunan dan pengukuhan institusi Islam di negeri ini meliputi pembangunan masjid dan surau,pendidikan agama, pengimarahan institusi islam, kebajikan asnaf dan pengukuhan pentadbiran agama.

Katanya, sebanyak RM6.5 juta diperuntukkan bagi menaik taraf Masjid Negeri dan penyelenggaraan masjid dalam Negeri Sembilan selain RM5.05 juta bagi insentif elaun bilal,siak dan pembantu wanita.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top