Rupanya dia tunggu seminggu, sebab nak 'copy paste'

Rupanya dia tunggu seminggu, sebab nak 'copy paste'

am@hmetro.com.my

Johor Bahru : Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dilancarkan hari ini sebagai sebuah manifesto ‘copy paste’.

Berucap pada Program Himpunan Anak Muda Tiram malam ini, beliau mendakwa apa yang terkandung dalam manifesto PH, sudah pun dan sedang dilaksana Barisan Nasional (BN).

“Pertama, kerja buat lambat. Kita sudah lancar seminggu yang lepas. Dia baru hari ini nak lancar manifesto. Saya pun pergi baca manifesto dia. Saya tengok, manifesto ini boleh tahan juga.

“Lepas itu saya baca, ‘side by side’ (sebelah-sebelah), manifesto BN, manifesto PH, rupa-rupanya, tuan-tuan dan puan-puan, manifesto ‘copy paste’. Rupa-rupanya dia tunggu seminggu, sebab dia nak ‘copy paste’.

“Soal perumahan, orang muda, ekonomi, perusahaan kecil dan sederhana, semua ‘copy paste’. Jadi, kalau antara yang original dengan yang ‘copy’, lebih baik kita pilih yang ori BN, tak payah kita pilih yang ‘copy paste’ itu,” katanya.

Turut sama hadir pada program itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan calon BN DUN Tiram, Datuk Abdul Halim Suleiman.

Dalam pada itu, Khairy sekali lagi menyeru pengundi di Johor menjadikan PRN kali ini sebagai gelombang kebangkitan BN yang bermula dari selatan menuju ke seluruh negara.

“Teruskan sebuah gelombang biru, yang bermula di bumi Johor ini. BN menang solo tubuhkan kerajaan negeri, gelombang biru akan naik dari selatan, angin kencang akan tiup ke negeri saya, Negeri Sembilan.

“Mungkin bagi keyakinan kepada Datuk Zahid, di Negeri Sembilan juga kita lawan solo, kita menang. Selepas Negeri Sembilan, gelombang itu patah balik ke selatan, pergi ke negeri Datuk (Seri) Rauf Yusoh (Melaka),” katanya.

Daripada kemenangan di dua negeri ini, Khairy berkata, ia akan menjadi pendorong kuat kepada kejayaan BN untuk sekali lagi diberi mandat penuh mentadbir Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top