KUMPULAN legenda rock tanah air, Slam bakal kembali menyentuh jiwa peminat menerusi persembahan eksklusif akustik berjudul The Grand Slam Unplugged 2, di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 20 Jun depan.
Konsert ini dijangka menghidupkan semula kenangan manis era kegemilangan rock 1990-an, susulan kejayaan luar biasa The Grand Slam Unplugged di Stadium Merdeka pada 3 Ogos 1996.
Sebuah konsert ikonik yang tetap diteruskan meskipun berdepan gangguan bekalan elektrik dan sehingga kini dikenang sebagai antara persembahan paling bersejarah dalam landskap muzik negara.
The Grand Slam Unplugged 2 bukan sekadar ulangan nostalgia, sebaliknya penghargaan terhadap perjalanan seni Slam yang merentasi pelbagai era daripada zaman kaset dan cakera padat (CD), sehingga ke era penstriman digital.
Konsert ini akan menampilkan persembahan akustik sebagai teras utama, dengan susunan muzik yang lebih matang, segar dan emosional, sesuai dinikmati oleh peminat setia mahupun generasi baharu.
Sementara itu, pemain gitar kumpulan Slam, Shah Nizam Abdul Halim atau Shah berkata persembahan itu membawa makna besar bukan sahaja buat anggota kumpulan, malah kepada peminat yang membesar bersama karya mereka.
“The Grand Slam Unplugged 2 akan menjadi momen epik menerusi persembahan akustik Slam sebagai satu konsep yang kini cukup matang untuk dipersembahkan kepada semua,” katanya.
Tambahnya, konsert ini turut menampilkan apresiasi terhadap kekuatan karya Slam yang terus relevan dan mampu bertahan dalam arus perubahan industri muzik.
Gabungan nostalgia, kematangan muzik dan keintiman persembahan akustik, The Grand Slam Unplugged 2 dijangka menjadi antara acara hiburan paling dinantikansekali gus mengukuhkan lagi legasi Slam sebagai kumpulan rock legenda negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




