amir_hamid@mediaprima.com.my
“Saya tak mahu masukkan cerita saya dalam surat khabar. Ramai lagi yang lebih teruk perlukan bantuan dan perhatian,” kata seorang daripada mangsa banjir Kampung Tersang di Rantau Panjang di Pasir Mas, Kelantan.
Dia mengatakannya secara spontan ketika kami sama-sama berada Masjid Al-Amin Taman Sri Rantau, Rantau Panjang.
Ketika itu, saya antara sukarelawan program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Bersama Coway Misi Bantuan Banjir.
Masjid berkenaan adalah lokasi terakhir misi yang membabitkan lokasi di Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Ketika lelaki pertengahan umur itu menolak untuk cerita kesusahannya disiarkan dalam akhbar ini, saya secara peribadi agak terkejut dengan kenyataannya yang menjelaskan bahawa ramai lagi mangsa banjir perlukan perhatian, sedangkan rumah didiaminya sudah runtuh!
“Saya tak duduk, mana boleh duduk…rumah dah runtuh, lantai pun jatuh ke bawah masuk ke sungai. Dah setahun saya menyewa bilik sejak kejadian itu,” katanya.
Dia kemudian meneruskan tugasan dengan mengambil kameranya untuk merakam detik suka duka penerima bantuan banjir bagi dimasukkan dalam sebuah portal info banjir Kelantan.
Dalam kisah lain, lelaki warga emas berketurunan Pakistan, Anuar Khan Makbol Khan, 69, berkata, walaupun Gual Periok tempatnya menumpang teduh kerap dilanda banjir, namun dia tak serik menetap di situ kerana itu tanah tumpah darahnya.
“Tanah air kita situ dah. Kena duduk situ macam mana pun. Air tak surut molek (banjir belum surut) lagi, memang nak balik dah pun.
“Alhamdulillah, Allah SWT bawa mari rezeki. Banyak pihak bantu mangsa banjir. Musibah tidak sepanjang masa, lebih banyak masa kita dalam keadaan yang baik,” katanya lagi.
Koodinator Thirdforce Rantau Panjang merangkap pegawai penyelaras bantuan luar negara (Thailand), Tuan Zaimah Raja Omar, 53, ketika menceritakan pengalamannya melakukan kerja sukarelawan pula berkata, paling diingatinya adalah peristiwa banjir 2024 di daerah itu.
“Ketika itu, kami bersama anggota bomba. Bot kami hampir terbalik akibat arus deras, ketika kejadian kami dalam perjalanan menjemput seorang mangsa banjir yang juga pesakit jantung.
“Saya bersama anggota polis juga pernah berdepan kesukaran untuk menjemput pesakit buah pinggang.
“Selain itu, saya juga pernah menemani jenazah dalam trak bomba untuk dibawa ke tanah perkuburan. Kami pergi ambil jenazah di rumah yang ditenggelami banjir dalam keadaan hujan lebat dan hari hampir malam,” katanya.
Sukarelawan yang juga Penolong Pengarang Berita Harian Metro, Yusmizal Dolah Aling, 43, menyifatkan sepanjang lima edisi misi bantuan banjir TKHM bersama Coway disertainya, antara pengalaman berharga yang diperoleh ialah melihat sendiri kesusahan dialami penerima.
“Tak dapat digambarkan bagaimana perasaan mereka melihat rumah ditenggelami air, harta benda rosak serta memerlukan dana untuk membaik pulih kediaman dengan kadar segera,” katanya.
Dalam situasi bencana, turut menyebabkan segelintir mangsa terdesak bersikap agresif seperti dialami Pembantu Pembangunan Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pasir Mas, Ahmad Abd Rahman, 43, yang terpaksa diiringi polis keluar daripada pusat pemindahan sementara (PPS).
Untuk wira tidak didendang seperti pegawai JKM itu atau pihak berkuasa yang lain, kata-kata penghargaan diluahkan Mariam Ibrahim dari Kampung Kubang Kual, Rantau Panjang.
“Terima kasih kepada pihak berkuasa yang membantu menyelamatkan suami saya (Muhamad Omar, 66) yang menghidap angin ahmar.
“Kami tidak dikurniakan anak dan kami berterima kasih pada jasa semua yang membantu,” katanya yang berusia 60 tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




