Lan Pet Pet akui terlepas cakap, mohon maaf pada Fazura

Lan Pet Pet akui terlepas cakap, mohon maaf pada Fazura

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelawak juga anggota Senario, Lan Pet Pet, 57, memohon maaf secara terbuka kepada pelakon, Nur Fazura Sharifuddin kerana keterlanjuran kata-kata ketika sesi siaran langsung di TikTok.

Lan atau pemilik nama Mazlan Ahmad didakwa oleh netizen memberi jawapan berbaur ‘double meaning’ ketika peminat bertanya mengenai perancangan perkahwinan baharu Fazura.

Perkara itu menyebabkan Lan dikecam segelintir netizen dengan menyifatkannya tidak sensitif terhadap jawapan diberikan terhadap Fazura walaupun mungkin ia sekadar untuk berlawak dan menghiburkan.

“Untuk Fazura, saya memohon maaf daripada hujung rambut sampai hujung kaki. Dalam tak sedar dan duk (ketika) berlawak, ada benda yang menyentuh hati dan perasaan Fazura.

“Kepada semua peminat Fazura, peminat Senario, langsung saya tak ada niat apa pun. Demi nama Allah, saya ini manusia biasa. Sekali lagi saya minta maaf.

“Saya terlepas cakap dan suasana masa itu, saya pun tak sedar. Okay minta maaf dan maafkan saya,” katanya pada hantaran video permohonan maaf dibuat di Instagram (IG).

Meninjau di ruangan komen, kebanyakan netizen mengingatkan agar Lan lebih berhati-hati serta menggunakan perkataan yang sesuai ketika berlawak.

“Alhamdulillah, semoga ia jadi pengajaran untuk kita semua. Semoga tiada lagi lawak-lawak seperti ini untuk dijadikan tontonan, komen warganet.

“InsyaAllah, saya pasti Fazura pun dah maafkan. Hatinya lembut. Sebab itu, kami fans (peminat) sayang dia dan protect her (melindunginya),” tulis netizen.

“Bukan senang nak tengok artis ni minta maaf.. sempoi abang..kita tak perfect (sempurna)…yang penting kita akur,” ujar seorang wargamaya.

Terdahulu, insiden tidak diduga itu berlaku selepas Lan dikatakan tertarik dengan soalan berkaitan jodoh untuk Fazura hingga dia menjawab sebegitu.

“Hampa tunggu sat..bagi dia ‘kering’ dahulu. Baru dua tahun (bercerai), bagi masuk tiga tahun, bagi dia ketat sikit,” kata Lan dalam sesi ‘live’ terbabit.

Sehubungan itu, klip jawapan Lan yang tular di media sosial berkenaan menyebabkan timbul reaksi negatif pada kalangan netizsn terhadapnya, termasuk dia menerima kecaman teruk di Threads.

Menerusi potongan klip sesi siaran langsung media sosial itu, Lan didapati menghadiri sesi perjumpaan peminat bagi satu jenama pakaian terkenal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top