Sindiket seludup migran tumpas

Sindiket seludup migran tumpas

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan sindiket penyeludupan migran selepas menahan 22 orang semalam.

Tangkapan terdiri daripada 20 lelaki dan dua wanita warganegara Indonesia dengan empat daripada mereka dipercayai berperanan sebagai tekong laut.

Komander PGA Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Senior Komisioner Polis (SAC) Hakemal Hawari berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif di kawasan sempadan Negeri Sembilan.

Katanya, dalam operasi sama, dua kenderaan jenis Honda City dan Volkswagen Tiguan serta enam telefon bimbit dipercayai digunakan bagi aktiviti penyeludupan migran dirampas.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM239,000 dan kesemua individu yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Hakemal berkata, 39 serbuan dilaksanakan di kawasan tanggungjawab Briged Tengah meliputi Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka serta Johor dalam tempoh 1 Januari lalu hingga hari ini.

“Hasil operasi berkenaan, seramai 161 individu berjaya ditahan selain pelbagai jenis rampasan dilakukan dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM8 juta,” katanya.

Katanya, kejayaan berkenaan membuktikan komitmen berterusan PGA dalam membanteras jenayah terancang yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan negara.

“Kerjasama masyarakat supaya tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa dan berperanan sebagai mata serta telinga pasukan keselamatan bagi memastikan sempadan negara kekal bebas daripada pencerobohan dan aktiviti haram,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top