Kewarganegaraan automatik anak kuat kuasa seawal 1 Jun

Kewarganegaraan automatik anak kuat kuasa seawal 1 Jun

latifah@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pelaksanaan pemberian kewarganegaraan automatik kepada anak yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia berkahwin dengan pasangan bukan warganegara, dijangka berkuat kuasa 1 Jun ini.

Berkongsi perkembangan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution menjelaskan, perkara itu kini berada di peringkat akhir sebelum dilaksanakan sepenuhnya.

“Saya juga nak menyebut bahawa tempoh hari bila kita pinda Perlembagaan Persekutuan

mengenai kewarganegaraan, hasilnya adalah sekarang ini kita dalam proses memuktamadkan pindaan kaedah-kaedah kewarganegaraan bagi membolehkan nanti sistem dalam talian sebagai sistem pra-pendaftaran boleh diguna pakai dan sebagainya.

“Jadi kita sedang dalam peringkat akhir bagi mendapatkan perkenan Yang Di-Pertuan Agong.

“Itu satu keperluan dan kita jangkakan 1 Jun 2026, kita boleh melaksanakan, selaras peruntukan 1(2) akta terbabit,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, kewarganegaraan automatik bagi anak dilahirkan ibu warga Malaysia di luar negara akan dapat dipenuhi apabila mereka memenuhi semua garis panduan termasuk kaedah-kaedah warganegara ditetapkan.

Menyentuh mengenai permohonan kewarganegaraan, katanya, ia dibuat berpandukan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

“Sepanjang 2023, Kementerian Dalam Negeri sasar selesaikan 10,000 kes, namun kami selesaikan 11,711. Tahun 2024, saya letakkan sasaran 17,000, (namun) kita berjaya selesaikan 20,701.

“Tahun 2025 sasaran kita 20,000, (tetapi) kita selesaikan 20,032 kes. Semua ini kita capai dalam masa tiga tahun. Secara kebetulan tempoh ini hampir menyamai lapan tahun pemerintahan terdahulu, iaitu 55,041 keputusan,” katanya.

Saifuddin turut memberitahu setakat 31 Disember tahun lalu, baki permohonan tertunggak adalah 3,738.

Beliau turut meletakkan komitmen untuk KDN memaklumkan keputusan permohonan kewarganegaraan setiap setahun sekali.

“KDN, kita mengikat diri kita dengan komitmen satu tahun untuk memaklumkan keputusan. Sebelum ini lima tahun, 10 tahun, 15 tahun, 33 tahun pun ada. Tapi kali ini kami kata dalam tempoh satu tahun,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top