sukan@hmetro.com.my
LANGKAWI: Pelayar Jepun, Yumiko Tombe memulakan saingan dengan cemerlang apabila mendahului kelas ILCA 6 Wanita pada hari pertama Regata Perdana Antarabangsa Langkawi (LIRP) 2026 di sini, hari ini.
Atlet berusia 35 tahun yang membuat penampilan sulung di LIRP itu menamatkan perlumbaan pembukaan di tempat pertama dengan tiga mata, sekali gus meletakkan dirinya di landasan terbaik untuk memburu kejuaraan.
Tempat kedua menjadi milik Jung Hyewon, 21, dari Korea menerusi catatan enam mata, manakala atlet Wilayah Persekutuan, Nur Ku Zarith Jaa’far, 19, berada di kedudukan ketiga selepas mengumpul 10 mata.
Sementara itu, kelas Wing Foil Terbuka yang diperkenalkan buat pertama kali dalam kejohanan edisi ke-22 menyaksikan penguasaan pelayar Thailand yang mendominasi tiga kedudukan teratas.
Satchapong Vimonsatiankit, 37, mendahului saingan dengan empat mata, diikuti rakan senegaranya, Teerawat Sudpumkeaw, 37, tempat kedua dengan tujuh mata dan ketiga milik Itsarakul Boonchird Kyo, 29, menerusi 10 mata.
Dalam kelas Wing Foil X-15 pula, pelayar Perancis, Ghio Romain, 27, turut mencuri tumpuan apabila mengungguli saingan dengan catatan empat mata pada penampilan pertamanya di LIRP.
Itsarakul yang turut bersaing dalam kategori itu berada di kedudukan kedua selepas mengatasi pelayar Norway, Svein Rasmussen di tempat ketiga dengan kelebihan tujuh mata.
LIRP 2026 yang menghimpunkan kira-kira 300 pelayar dari 10 negara mempertandingkan sembilan kategori iaitu Optimist, ILCA 7, ILCA 6, ILCA 4, International 470, International 420, Windsurfing, 29er dan Wing Foil.
Keterangan gambar:
Pelayar Jepun, Yumiko Tombe, 35, menduduki tempat pertama ILCA 6 selepas beraksi cemerlang pada hari pertama perlumbaan Regata Perdana Antarabangsa Langkawi (LIRP) 2026 di Langkawi. NSTP/HAMZAH OSMAN
ends
#kw yumiko tombe, ilca 6, regata perdana, langkawi, saingan hari pertama, atlet pelayaran jepun
© New Straits Times Press (M) Bhd




