
Orang ramai berjalan dalam cuaca sejuk melampau di New York City. – AFP
NEW YORK: Seramai 18 orang dilaporkan maut akibat cuaca sejuk melampau yang melanda New York City, menurut Datuk Bandar bandar itu pada Isnin, lapor BBC.
Datuk Bandar Zohran Mamdani berkata sejak akhir Januari, bandar tersebut mengalami gelombang sejuk berpanjangan termasuk 13 hari berturut-turut dengan suhu 0 darjah Celsius atau lebih rendah, antara tempoh paling lama dalam tempoh enam dekad.
Beliau memaklumkan seorang lagi individu meninggal dunia di jalanan pada hujung minggu lalu, sambil menegaskan setiap kematian merupakan satu tragedi dan pihak bandar akan terus memikirkan kebajikan keluarga mangsa.
Walaupun suhu dijangka meningkat minggu ini, Mamdani menasihatkan penduduk agar terus berada di dalam rumah dan saling menjaga keselamatan.
Sejak pengumuman kecemasan Code Blue pada 19 Januari, kira-kira 1,400 individu telah ditempatkan di pusat perlindungan, selain penambahan bilik hotel dan petugas lapangan.
Pada 27 Januari, sekurang-kurangnya 10 mangsa ditemui meninggal dunia di luar bangunan, manakala punca kematian selebihnya masih belum diketahui.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS, berkata suhu dijangka sekitar 0 darjah Celsius sepanjang minggu ini, masih di bawah paras purata, dengan risiko hipotermia dan radang dingin akibat angin sejuk Artik yang melanda rantau itu.
Agensi Pengurusan Kecemasan bandar itu turut memberi amaran mengenai bahaya ais dan salji mencair yang boleh jatuh dari bangunan serta pembekuan semula jalan dan kaki lima pada waktu malam. – Awani
Ringkasan AI
- Seramai 18 orang maut akibat cuaca sejuk melampau di New York City
- Datuk Bandar Zohran Mamdani melaporkan kematian berlaku sejak akhir Januari, dengan gelombang sejuk termasuk 13 hari berturut-turut suhu 0 darjah Celsius atau lebih rendah
- Seorang lagi individu meninggal dunia di jalanan pada hujung minggu lalu
- Kira-kira 1,400 individu ditempatkan di pusat perlindungan dan hotel sejak pengumuman kecemasan Code Blue pada 19 Januari
- Suhu dijangka berada sekitar 0 darjah Celsius sepanjang minggu ini, dengan risiko hipotermia dan radang dingin



