Pelakon muda Qistina Raisah memilih untuk kekal tenang apabila namanya sekali lagi menjadi bualan susulan konflik membabitkan dua rakan industri, Mia Sara dan Puteri Balqis.
Mahu fokus keluarga dan diri sendiri

Memetik laporan Gempak, menurut Qistina, sebarang isu lama yang pernah mengaitkan dirinya sebelum ini seharusnya dijadikan iktibar, bukannya terus dibangkitkan sehingga mencetuskan keadaan menjadi buruk.
Pemilik nama sebenar Nur Qistina Raisah Mohd. Kamarol Azri, 18, berkata dia lebih selesa mengambil pendirian untuk tidak mencampuri urusan pihak lain demi menjaga kesejahteraan emosi serta memberi tumpuan kepada kehidupan peribadi.
“Throwback (imbau kembali) tak apa, tapi kalau macam sekarang ini saya okey saja.
“Saya tak ada apa-apa nak cakap sebab sebenarnya saya pun tak tahu. Saya tahu benda itu tular selepas dua ke tiga hari kerana terlalu sibuk di Brunei.
“Kalau kalian nak ingatkan balik benda itu untuk jadikan sebagai pengajaran, okey saja tapi kalau lebih-lebih jangan, saya tak tahu apa-apa. Memang tak nak masuk campur, mahu fokus kepada keluarga, hidup dan perniagaan sendiri,” kata Qistina pada majlis pelancaran Bayu Somerset X Machino di Shah Alam, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai namanya yang kembali menjadi perhatian warganet, pelakon filem Rahsia itu mengakui tidak berasa terkejut dan menyerahkan sepenuhnya kepada masyarakat untuk menilai isu berkenaan berdasarkan sudut pandang masing-masing.

“Reaksi? Biasa saja sebab saya dah biasa orang petik nama saya tiba-tiba.
“Benda pun dah beberapa tahun. Boleh periksa fakta dan baca sendiri. Pendapat kita kan lain-lain, kalau orang baca rasa saya salah, salah jugalah,” jelasnya.
Dalam masa sama, Qistina menegaskan dia tidak pernah menyimpan rasa dendam terhadap sesiapa dan memilih untuk mengamalkan sikap rendah hati dalam pergaulan, termasuk ketika bersama rakan artis.
“Saya baik dengan semua orang. Kalau orang nak tegur saya, saya tegur balik.
“Kalau jumpa orang, saya salam dan tegur. Kalau orang tak nak tegur atau macam tak nak layan, tidak mengapa.
“Tapi saya tak pernah ada dendam langsung dengan sesiapa pun. Kita nak bersihkan hati kan, kalau kita benci orang lagi sakitkan hati sendiri dan serabutkan diri,” ujarnya.
Sebelum ini, media sosial dikejutkan dengan teguran terbuka daripada Puteri Balqis buat Mia Sara dan meminta isu antara mereka diselesaikan secara bersemuka, selepas mendakwa aktres berusia 21 tahun itu pernah memalukan ibunya.
Dalam perkembangan berkaitan, Balqis yang lebih dikenali sebagai Aqish turut mendakwa tindakan Mia Sara menangis di hadapan media disifatkan sebagai usaha meraih simpati orang ramai.

Artikel lain: Qistina Raisah menangis lagi! Terharu dapat jumpa Soloz, tak sangka berbadan sado
Susulan konflik tersebut, nama Qistina kembali dikaitkan apabila kontroversi lama membabitkan dirinya turut diperkatakan semula, termasuk dakwaan kononnya dia pernah menyindir Puteri Balqis berhubung isu merendah-rendahkan pelakon wanita itu.
Bagaimanapun, walaupun Qistina sebelum ini menafikan menjadi punca perselisihan dan pernah meminta penjelasan secara terbuka daripada Balqis, dia kini memilih untuk tidak lagi mengulas lanjut isu berkenaan demi menjaga keharmonian serta kebaikan semua pihak.
Sumber: Gempak (Amri Hassan)




