PETALING JAYA: Pelakon, Daler Yusuf mendedahkan bahawa selebriti lelaki juga tidak terkecuali daripada berdepan dengan sikap tidak bermoral segelintir penggiat seni dalam industri hiburan tanah air.
Daler atau Daler Yusuf Khamrokulov Muhammad, 34, berkata, pengalaman tersebut dilaluinya ketika di peringkat awal pembabitan sebagai pelakon.
“Apabila mula berlakon, bukan wanita sahaja yang perlu menjaga diri, sebaliknya lelaki juga sebenarnya tidak selamat.
“Ketika baru bermula dan terlalu bersemangat untuk menjadi pelakon, saya pernah menghantar mesej kepada beberapa pengarah dan penerbit,” katanya menerusi ruangan komen dalam hantaran Threads pelakon, Mimi Lana.
Tambah pelakon drama Encik Suami Mat Saleh Celup itu, terdapat individu yang meminta gambar peribadi menerusi aplikasi WeChat, malah ada juga yang mengajaknya bercuti sebelum sebarang tawaran kerja diberikan.
Bagaimanapun, Daler menegaskan dia memilih untuk tidak mengambil jalan mudah dan menyerahkan sepenuhnya soal rezeki kepada ketentuan Ilahi.
“Alhamdulillah, apabila kita bertawakal dan percaya kepada Allah, perkara yang baik dan positif akan datang dengan sendirinya,” katanya.
Sebelum ini, Mimi Lana meluahkan rasa kesal dan dukacita susulan pendedahan ibu kepada pelakon remaja, Puteri Balqish, iaitu Norashikin Mohd. Aziz, berhubung dakwaan eksploitasi yang berlaku dalam industri seni tempatan.
Mimi menegaskan isu berkenaan bukan bahan jenaka atau sekadar kandungan media sosial, sebaliknya merupakan realiti pahit yang meninggalkan trauma mendalam kepada mangsa terlibat. -UTUSAN




