Bayi 3 bulan, wanita maut kemalangan dua kenderaan di Kota Tinggi

Bayi 3 bulan, wanita maut kemalangan dua kenderaan di Kota Tinggi

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi : Dua termasuk bayi berusia tiga bulan maut dalam kemalangan di Kilometer 65, Jalan Sungai Rengit – Kota Tinggi di sini, hari ini.

Kemalangan kira-kira jam 7 malam itu turut mengorbankan seorang wanita berusia 24 tahun yang juga pemandu sebuah Perodua Bezza dipercayai ibu bayi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kereta dipandu mangsa bersama lima penumpang itu terbabit kemalangan dengan sebuah lori Hino dipandu lelaki tempatan berusia 60 tahun.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta mangsa dikatakan masuk ke laluan bertentangan, lalu bertembung dengan lori terbabit.

“Akibat kemalangan, pemandu kereta parah di bahagian kepala dan dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala bayi berusia tiga bulan itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT).

“Empat penumpang kereta serta pemandu lori kini sedang menerima rawatan di HKT, manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HKT bagi prosedur siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu jam 7.20 malam

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top