georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemenang Oscar pertama Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh bakal menerima bintang di Hollywood Walk of Fame dalam acara anjuran Hollywood Chamber of Commerce (HCC) pada 18 Februari ini.
Variety melaporkan upacara pemberian bintang terbabit akan berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 11.30 pagi (waktu Pasifik) bersamaan jam 3.30 pagi 19 Februari 2026 (waktu Malaysia).
Penghormatan berprestij ini susulan kemenangan bersejarah Yeoh sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Akademi pada 2024 menerusi wataknya dalam filem Everything Everywhere All at Once.
Tidak ketinggalan, pelakon berusia 63 tahun kelahiran Ipoh, Perak itu sudah terbabit dalam beberapa projek berprofil tinggi sejak memenangi Oscar.
HCC mengumumkan Yeoh sebagai penerima penghormatan terbabit pada Jun 2023, meletakkannya sebaris tokoh hiburan lain seperti Presiden Marvel Studios Kevin Feige dan mendiang pelakon Carl Weathers.
Yeoh turut terbabit dalam filem ‘blockbuster’ utama 2025 berjudul Wicked: For Good dan bakal memegang watak penting dalam sekuel James Cameron bermula Avatar 4 hingga Avatar 5.
Untuk naskhah akan datang, beliau bakal menjayakan satu watak dalam siri Prime Video Blade Runner 2099 serta sebuah filem pendek unik bertajuk Sandiwara arahan pemenang Oscar, Sean Baker.
Dalam Sandiwara, Yeoh memegang lima watak berbeza di mana penggambaran dibuat sepenuhnya menggunakan iPhone di sebuah pasar malam di Malaysia.
Tayangan perdana dunia untuk filem terbabit dijadualkan dibuat di Festival Filem Antarabangsa Berlin pada 13 Februari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




