BEKAS bintang Real Madrid, Toni Kroos tampil mempertahankan bekas rakan sepasukannya, Cristiano Ronaldo susulan kemelut mogok yang melanda kelab Al-Nassr.
Legenda Jerman itu menyifatkan Liga Pro Saudi berisiko kehilangan daya tarikan global serta-merta sekiranya Ronaldo bertindak meninggalkan Arab Saudi akibat perlakuan kurang hormat pihak pengurusan terhadap pemain tersebut.
Ronaldo sebelum ini dilaporkan enggan diturunkan dalam dua perlawanan terakhir pasukannya susulan perselisihan faham dengan pihak pengurusan kelab serta pemilik, Dana Pelaburan Awam (PIF).
Kroos yang pernah berganding bahu bersama Ronaldo di Santiago Bernabeu dari 2014 hingga 2018, tidak berselindung mengkritik situasi tersebut dalam satu temu bual baru-baru ini.
“Liga Saudi adalah dunia yang berbeza. Tiada siapa yang tahu mengenainya sebelum ketibaan Cristiano. Namun kini, mereka tidak menghormati individu yang membawa kegemilangan antarabangsa kepada mereka.
“Saya beritahu anda, jika Ronaldo pergi esok, tiada siapa lagi akan menonton liga ini,” katanya.
Masa depan pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu kini menjadi tanda tanya apabila beliau dikaitkan dengan klausa pelepasan selain bertiup kencang khabar angin kepulangan ke Eropah atau perpindahan ke Liga Utama Bola Sepak Amerika Syarikat (MLS).
Difahamkan, tindakan ‘mogok’ Ronaldo berpunca daripada isu gaji tertunggak serta ketidakpuasan hati terhadap struktur kepimpinan kelab.
Laporan antarabangsa mendedahkan bahawa PIF akhirnya tunduk kepada tekanan tersebut dengan melunaskan sebahagian tunggakan gaji kakitangan kelab.
Malah, perbincangan sedang giat dijalankan untuk mengembalikan semula jawatan Ketua Pegawai Eksekutif, Jose Semedo dan Pengarah Sukan, Simao Coutinho yang diminta berundur pada Disember lalu.
Ia sekali gus menyaksikan ketegangan di Riyadh dilaporkan semakin reda apabila Ronaldo bersetuju menamatkan mogoknya.
Walaupun dia tidak akan beraksi dalam perlawanan Liga Juara-Juara AFC Dua menentang Arkadag pada Rabu, sumber mengesahkan kapten Portugal itu bakal kembali memperkuat Al-Nassr dalam aksi liga menentang Al-Fateh, Sabtu ini.
Ringkasan AI
- Toni Kroos mempertahankan Cristiano Ronaldo susulan kemelut mogok di kelab Al-Nassr
- Kroos menyatakan Liga Pro Saudi berisiko kehilangan daya tarikan jika Ronaldo meninggalkan Arab Saudi
- Ronaldo dilaporkan enggan bermain dalam dua perlawanan terakhir kerana perselisihan dengan pengurusan Al-Nassr
- Kroos kritik pengurusan Liga Saudi tidak menghormati Ronaldo yang membawa kegemilangan antarabangsa
- Ronaldo dikaitkan dengan kemungkinan kembali ke Eropah atau perpindahan ke MLS susulan isu gaji tertunggak dan ketidakpuasan dengan kepimpinan kelab


