KUALA LUMPUR: Usahawan terkenal, Liana Rosli, 44, sedia menerima sekiranya kakaknya, Rose Azlin Rosli, 51, atau Nona terbuka hati untuk berjumpa dan memperbaiki hubungan mereka yang renggang sejak hampir satu tahun lalu.
Menurut Liana yang mesra disapa sebagai Kak KM, dia sebolehnya enggan konflik berpanjangan namun dalam masa yang sama tetap menghormati apa sahaja keputusan kakaknya itu.
“Saya hormat dia, jika dia enggan datang berjumpa saya, tak ada masalah.
“Apa pun saya sentiasa terima kalau dia mahu datang berjumpa,” katanya yang ditemui pada sidang media Let’s Raya: Gegap Gempita Raya 2026 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.
Liana dalam masa sama memaklumkan sudah terputus hubungan dan tidak berjumpa Rose sejak sambutan Hari Raya Aidiladha tahun lalu.
“Sampai sekarang kami tidak berjumpa apatah lagi berhubung. Memang tidak pernah. Kurang lebih satu tahun.
“Tapi walaupun putus hubungan, saya tetap ambil tahu hal adik beradik. Saya faham keadaan dia tidak okey.
“Sebab itu semasa membuat siaran langsung di TikTok baru-baru ini, saya pelawa dia datang rumah saya.
“Tetapi, kalau dia menolak, saya tak boleh paksa,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Liana memaklumkan dia tetap berharap agar hubungan mereka segera pulih seperti sedia kala.
“Kami ini adik beradik, satu masa nanti mesti akan berhubung balik. Kita tak tahu umur kita panjang atau tidak.
“Saya tak akan biarkan keadaan berterusan begini, ego saya tidaklah sampai tahap begitu,” ujarnya. – UTUSAN



