Video sembelih ayam cetus persoalan! JAKIM dedah premis tiada sijil halal, sudah diarah tutup

Video sembelih ayam cetus persoalan! JAKIM dedah premis tiada sijil halal, sudah diarah tutup

Premis penyembelihan ayam yang menjadi perhatian ramai susulan penularan video mencetuskan persoalan mengenai pematuhan hukum syarak didapati tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Perkara itu disahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi pemeriksaan awal yang turut mendapati premis terbabit sebenarnya telah diarahkan tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak 10 Oktober lalu.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, arahan penutupan itu dibuat susulan pelanggaran aspek kesihatan.

Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee - ALHIJRAH NEWS

Lebih menarik perhatian, pemeriksaan turut mendapati premis berkenaan didaftarkan atas nama entiti lain dan bukannya milik Bhuiyen Sdn. Bhd., meskipun bekalan ayam hidup diperoleh daripada syarikat tersebut.

“Pemeriksaan turut mendapati premis berkenaan telah diarahkan tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak 10 Oktober lalu susulan pelanggaran aspek kesihatan.
“Sehubungan itu, JAKIM turut mengemukakan permohonan kepada DBKL bagi mendapatkan pengesahan berhubung status lesen premis dan entiti yang menjalankan aktiviti pemprosesan ayam tersebut bagi melengkapkan penelitian serta tindakan susulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sirajuddin, risikan awal dan pemeriksaan di lokasi dijalankan bersama beberapa agensi termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Dalam pada itu, beliau menegaskan JAKIM tidak akan memandang ringan sebarang aktiviti penyembelihan yang didapati melanggar hukum syarak.

“Pematuhan terhadap hukum syarak dalam proses penyembelihan merupakan perkara asas yang tidak boleh dipandang ringan.
“Sebarang pelanggaran yang dikenal pasti akan ditangani melalui tindakan penguatkuasaan berdasarkan peruntukan undang-undang dan bidang kuasa pihak berkuasa berkaitan,” tegasnya.

Photo by Dato' Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri on October 20, 2026. May be an image of one or more people and text.

JAKIM turut memberi jaminan akan meneruskan kerjasama dengan agensi penguat kuasa bagi memperkukuh pemantauan dan memastikan tindakan sewajarnya diambil sekiranya terdapat sebarang pelanggaran.

Bagaimanapun, setakat ini, JAKIM belum mengesahkan sama ada proses penyembelihan dalam video tular itu benar-benar melanggar hukum syarak.

Sumber: FB Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM

Scroll to Top