Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan bahawa mana-mana syarikat yang terbukti melakukan pembakaran hutan demi keuntungan perlu dikenakan tindakan undang-undang, tanpa mengira negara asal syarikat berkenaan.
Kenyataan itu dibuat sebagai respons terhadap kritikan bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi berhubung gesaannya supaya tindakan lebih tegas diambil bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan.
Menurut Syed Saddiq, isu tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai pertikaian antara Malaysia dan Indonesia, sebaliknya perlu ditangani berdasarkan tanggungjawab pihak berkuasa dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap pihak yang terbukti melakukan kesalahan.
“Bapak, ini bukan soal Malaysia lawan Indonesia. Selepas terbukti membakar hutan untuk keuntungan cepat, ambil tindakan. Bendera bukan lesen untuk merosakkan alam.
“Mereka beroperasi di Indonesia. Dibawah undang-undang Indonesia. The power is in your hands,” katanya.

Syed Saddiq turut menjelaskan bahawa beliau sebelum ini sudah menggesa tindakan terhadap syarikat Malaysia yang terlibat dalam kegiatan pembakaran hutan ketika membangkitkan isu berkenaan di Parlimen.
Sehubungan itu, beliau meminta Muhammad meneliti keseluruhan ucapannya bagi mengelakkan salah tafsir terhadap pendirian yang disuarakan.
“Di parlimen saya sendiri sudah mendesak tindakan terhadap syarikat Malaysia yang terlibat. Watch my full speech. Jangan potong ucapan sampai terpotong kebenaran,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Syed Saddiq menegaskan bahawa keluasan kawasan perladangan yang dimiliki sesebuah syarikat tidak boleh dijadikan asas untuk mengaitkannya secara langsung dengan kejadian kebakaran hutan tanpa bukti yang kukuh.
Beliau merujuk kepada SD Guthrie yang menurutnya mempunyai 67 pasukan dengan lebih 1,000 anggota terlatih, selain menggunakan teknologi dron dan inframerah bagi menangani kebakaran.
Katanya, syarikat berkenaan membelanjakan lebih RM800,000 sebulan untuk tujuan tersebut dan setakat ini, tiada bukti menunjukkan SD Guthrie menjadi pencetus kebakaran.
“Ladang besar bukan bukti bersalah. Bapak kata tentang SD Guthrie. Ia syarikat besar tapi sampai sekarang tiada bukti mereka pencetus kebakaran,” katanya.
Mengulas laporan Greenpeace yang turut dibangkitkan dalam pertikaian itu, Syed Saddiq berkata laporan berkenaan merekodkan 19 titik sumber asap di kawasan konsesi Kuala Lumpur Kepong (KLK), berbanding 6,811 titik lain.
Beliau mempersoalkan tindakan memberikan tumpuan terhadap KLK semata-mata sedangkan menurut pengiraannya, jumlah titik berkenaan hanya mewakili kira-kira 0.3 peratus daripada keseluruhan angka yang dirujuknya.
“Bapak mahu kami hanya fokus kepada penyumbang 0.3% dari 99.7% yang lain. Jangan lantang terhadap satu nama, kemudian senyap terhadap yang lain,”ujar beliau.
Dalam pada itu, Syed Saddiq mendakwa Malaysia sebelum ini menawarkan bantuan berupa sebuah pesawat, tiga helikopter serta anggota bagi membantu Indonesia menangani kebakaran hutan.
Bagaimanapun, beliau mendakwa tawaran tersebut tidak mendapat maklum balas daripada pihak pentadbiran Indonesia.
“Malaysia sudah pun menawarkan pesawat, 3 helikopter dan anggota. Tetapi kena ghosting oleh pentadbir Indonesia. Nak tolong pun susah,”luah Syed Saddiq.

Mengakhiri kenyataannya, Syed Saddiq mengingatkan bahawa kesan jerebu tidak terbatas kepada sempadan negara kerana rakyat Malaysia dan Indonesia sama-sama terdedah kepada risiko pencemaran udara.
“Bapak, haze does not discriminate. Ia tidak peduli tentang warna kulit anda, agama anda atau nasionaliti anda.
“Anak Malaysia sesak nafas. Anak Indonesia pun sesak nafas. Bendera kita mungkin berbeza. Tetapi kita perlu bernafas adalah sama. Jangan bela pembakar kerana benderanya bela rakyat kerana nyawanya,” katanya.
Terdahulu, Muhammad mengkritik gesaan Syed Saddiq supaya negara anggota ASEAN meningkatkan tekanan diplomatik dan kewangan terhadap Indonesia berhubung masalah jerebu rentas sempadan.
Muhammad turut membangkitkan penglibatan syarikat perladangan Malaysia di Indonesia serta mengingatkan supaya isu berkenaan tidak dijadikan medan meraih sokongan politik.
Bagaimanapun, Syed Saddiq mengekalkan pendiriannya bahawa tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan terhadap mana-mana pihak yang terbukti bertanggungjawab terhadap pembakaran hutan, tanpa mengira kewarganegaraan atau negara asal syarikat terbabit.
Sumber: Syed Saddiq




