syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Video berseloroh dengan keterangan ‘mak-mak mengenangkan anak-anak’ yang dimuat naik Ina Naim di TikTok mencuit hati ramai netizen.
Dalam video yang tular itu, Ina yang juga ibu kepada penyanyi, Ehmad Hadie Elfardie bergandingan bersama pelakon yang juga ibu kepada penyanyi, Auddra Zulkifli iaitu Sharifah Shahirah meluahkan kegusaran mereka apabila anak-anak mereka kerap dilihat bersama.
“Anak aku menghimpit saja anak kau,” tulis kata-kata monolog Sharifah Shahirah.
“Samalah, dua kali lima,” tulis monolog yang mewakili Ina pula.
Di penghujung video, kedua-duanya sekali lagi berseloroh dan bertanya, adakah mereka patut kahwinkan Hadie dan Auddra.
“Habis itu, nak buat macam mana? Takkan nak kahwinkan pula?” tulisnya.
Ruangan komen dihujani dengan pelbagai reaksi lucu dan mencuit hati daripada netizen.
Hadie dan Auddra atau Odah mula rapat apabila kedua-dua mereka menyertai program Talk To My Manager.
Tidak hanya berdua, mereka juga dilihat bersahabat dengan anak kepada penyanyi, Ameng Spring iaitu Ammar Haikal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




