Tempoh reman tiga lelaki disyaki bunuh ibu tunggal disambung

Tempoh reman tiga lelaki disyaki bunuh ibu tunggal disambung

BUTTERWORTH : Tempoh reman bagi tiga lelaki termasuk suspek utama kes pembunuhan seorang ibu tunggal di Flat Sri Murni, Sungai Dua di sini minggu lepas, disambung antara dua hingga lima hari bermula hari ini.

Dua daripada mereka yang juga lelaki tempatan berusia 40 dan 46 tahun, masing-masing direman sehingga Isnin depan manakala seorang lagi suspek iaitu lelaki warga Myanmar berusia 38 tahun pula direman sehingga Jumaat ini.

Perintah lanjutan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Balqis Roslin bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap mereka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ketiga-tiga suspek yang diiringi anggota polis sebelum itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 11 pagi tadi dalam keadaan kaki dan tangan yang bergari.

Dalam kejadian minggu lepas, mangsa yang berusia 41 tahun dan bekerja sebagai pemandu van sekolah dijumpai dalam keadaan terbaring di rumahnya dengan kesan luka kelar pada leher dipercayai akibat dibunuh dengan senjata tajam.

Susulan kejadian itu, polis berjaya memberkas tiga orang suspek termasuk seorang lelaki warga asing dan ketiga-tiga mereka turut direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Scroll to Top