Yayasan MBI, Pejabat Parlimen Gombak salur RM1.6 juta imarahkan 137 institusi agama

Yayasan MBI, Pejabat Parlimen Gombak salur RM1.6 juta imarahkan 137 institusi agama

Gombak : Kerajaan Negeri Selangor melalui Yayasan Menteri Besar Incorporated (Yayasan MBI) dan Pejabat Ahli Parlimen Gombak penyaluran dana sumbangan Ihya Ramadan berjumlah RM1.6 juta.

Peruntukan ini diserahkan khusus kepada 137 buah institusi agama di seluruh Parlimen Gombak bagi memastikan aktiviti ibadah dan kebajikan sepanjang bulan Ramadan dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata adalah hasil daripada kestabilan ekonomi negeri yang terus mencatatkan pertumbuhan positif.

Beliau memetik peningkatan gaji penengah (median) rakyat Selangor yang kini mencecah lebih RM10,000 sebagai bukti keberhasilan tadbir urus ekonomi negeri.

Walau bagaimanapun, beliau menekankan bahawa kemajuan material mestilah diimbangi dengan kekuatan rohani berteraskan prinsip Ihsan.

“Dunia di tangan, tetapi hati bersama Tuhan. Kita mahu Selangor bukan sahaja megah dengan angka ekonomi, tetapi juga hebat dalam pegangan iman dan keharmonian sosial,” katanya ketika berucap menyampaikan sumbang Ihya Ramadan bagi Parlimen Gombak di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati.

Pada majlis yang sama, kerajaan negeri turut menegaskan semula komitmen untuk mematuhi titah Sultan Selangor agar masjid dan surau kekal sebagai zon bebas politik.

Malah pihak pengurusan institusi agama diingatkan supaya tidak membiarkan premis mereka menjadi medan sentimen kepartian yang boleh memecahbelahkan perpaduan kariah.

Fokus utama harus diberikan kepada pendidikan agama yang sederhana (wasatiyyah) dan mengelakkan pendekatan ekstrem.

Secara tidak langsung ia dapat meringankan beban kos operasi masjid dan surau yang lazimnya meningkat pada bulan Ramadan berikutan pengisian aktiviti yang bermula seawal waktu Subuh sehingga solat Tahajjud di tengah malam.

Kadar sumbangan adalah merangkumi 22 buah majlis yang masing-masing menerima RM20,000, surau Jumaat (20 buah) RM15,000, surau (77 buah) RM10,000 serta madrasah dan musolla (18 buah) RM5,000.

Sebagai nilai tambah kepada keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan umat Islam, Amirudin turut mengumumkan kenaikan Insentif Muasasah Haji daripada RM1,000 kepada RM1,500 seorang bagi tahun ini.

Menurutnya, kenaikan ini bertujuan membantu jemaah haji kategori muasasah dalam membuat persiapan logistik dan keperluan harian di Tanah Suci kelak.

“Pihak MBI dan Pejabat Parlimen Gombak berharap agar sumbangan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk keselesaan jemaah, termasuk penganjuran program khusus bagi golongan wanita, belia, serta anak-anak di kawasan Gombak.” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top