Atlanta: Argentina menjangkakan satu lagi cabaran sengit apabila bertemu Mesir dalam aksi pusingan 16 terbaik selepas terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan Cape Verde 3-2 selepas masa tambahan.
Juara dunia itu mara selepas kemenangan sukar ke atas pasukan daripada Afrika itu dan harus bersedia untuk satu lagi ujian berat menentang Mesir dalam usaha mereka memburu tempat ke suku akhir.
Pemain tengah Argentina, Leandro Paredes berkata kejohanan ini membuktikan betapa kompetitifnya bola sepak antarabangsa, sambil merujuk kepada keputusan tidak dijangka seperti kekalahan Brazil 2-1 kepada Norway pada Ahad.
“Kami sedar semua pasukan kebangsaan sangat kompetitif. Sesiapa sahaja boleh menewaskan sesiapa,” kata Paredes kepada media di Atlanta pada Isnin.
“Sudah tentu, melihat Brazil tersingkir menarik perhatian tetapi tiada perlawanan mudah. Semua pasukan sangat bersedia.”
Pertahanan Argentina, Nahuel Molina berkata, Mesir dijangka memberikan cabaran besar sambil menambah pasukan Afrika Utara itu akan tampil dengan motivasi tinggi dan persiapan rapi.
“Pada akhirnya, tiada siapa beri anda apa-apa. Setiap lawan mengkaji anda, semua berjuang habis-habisan untuk negara mereka.
“Daripada pihak kami, kami akan cuba menjadi dominan seperti biasa dan mewakili Argentina dengan cara terbaik,” kata Molina.
Argentina akan menentang Mesir awal pagi Rabu ini dengan pemenang akan bertemu sama ada Switzerland atau Colombia pada suku akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




