PETALING JAYA: Tiada mana-mana pihak berhak mengambil tindakan sendiri di luar kerangka undang-undang dalam isu berkaitan rumah ibadat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai sebuah negara berteraskan undang-undang, perkara mengenainya perlu dihormati semua pihak.
“Negara ini, negara yang harus patuh kepada undang-undang, berlandaskan kedaulatan undang-undang.
“Ya, sememangnya timbul pelbagai isu, kontroversi dan perbezaan, namun keutamaan kita adalah memastikan kestabilan terpelihara, kesucian kepercayaan kita dihormati serta pada masa yang sama memelihara perpaduan sejagat,” katanya.
Anwar berkata demikian pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) 2026 di sini malam tadi.
Katanya lagi, semua pihak perlu mematuhi undang-undang dan peraturan berhubung pembinaan rumah ibadat dan isu sensitiviti di negara ini bagi memastikan keharmonian terus terpelihara.
“Akhir-akhir ini, seperti yang anda sudah tahu, kita hangat dengan isu di Selangor dan di negeri lain, soal rumah ibadat yang tidak ikut peraturan dan juga soal pembinaan ladang khinzir.
“Jadi saya hendak gunakan kesempatan ini cuba menyebut bahawa semua kita tahu peraturannya, iaitu apa yang boleh, apa yang tidak boleh.
“Tetapi kita kena tangani dengan baik dengan hormat. Jangan menghina Islam Agama Persekutuan dan majoriti umat Islam di sini (dalam negara), tetapi tidak harus juga ada mana-mana pandangan untuk menghina amalan keluarga kita, masyarakat kita yang lain,” katanya.-UTUSAN



