am@hmetro.com.my
Muar: Dua penganggur yang menjadi orang upahan ceti haram atau ‘along’ dan terbabit dalam beberapa kes secara ‘road show’ di negeri ini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan membakar rumah, kereta dan motosikal dengan membaling molotov cocktail, bulan lalu.
Kedua tertuduh, Adrian Arvin Tanabalan, 26, dan Kaarthivhi Suresh, 27, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa bersama-sama melakukan khianat dengan bahan letupan molotov cocktail yang mengakibatkan kebinasaan rumah milik wanita warga emas berusia 69 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di Jalan Merawan 1, Taman Bakri Jaya, di sini, pada 1.45 pagi, 23 November tahun lalu.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan perkara sama terhadap sebuah kereta dan motosikal milik lelaki berusia 39 tahun di Taman Pagoh Jaya pada 2.55 pagi 5 Januari lalu.
Kedua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 34 kanun sama, penjara sehingga 14 tahun dan denda bagi setiap kesalahan dilakukan.
Berdasarkan laporan, kedua tertuduh aktif melakukan khianat dengan api ditahan pada 14 Januari lalu sekali gus membolehkan polis menyelesaikan sekurang-kurangnya sembilan kes di negeri itu.
Kedua tertuduh ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes sama di Batu Pahat, Johor Bahru Utara, Seri Alam, Iskandar Puteri dan Muar.
Tangkapan terhadap tertuduh membolehkan polis merampas botol kaca berisi petrol, topeng muka serta berapa lagi peralatan yang digunakan ketika membaling ke arah rumah yang disasarkan.
Selain itu, tertuduh juga dibayar antara 300 hingga 400 dolar Singapura bagi setiap rumah disasarkan.
Bulan lalu, kedua dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru bulan lalu atas pertuduhan sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ameerah Allaudeen manakala kedua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 setiap seorang dengan kes disebut semula pada 15 April ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.
© New Straits Times Press (M) Bhd




